Laluan Hanoi-Ho Chi Minh kini dikhabarkan sebagai antara 7 laluan penerbangan terbesar di dunia. Ditambah faktor tambang murah dan peningkatan jumlah pelancong di Vietnam, maka tidak hairanlah jika VietJet Air menempa laluan mudah dalam industri penerbangan antarabangsa.

Ditubuhkan oleh seorang wanita, Nguyen Thi Phuong Tuo, 47, melancarkan syarikat penerbangan ini pada tahun 2011. Gimik pelancaran VietJet Air yang menggunakan pramugari seksi berbikini cepat tersebar dan meniti dari mulut ke mulut.

Menurut Forbes, nilai kekayaan Nguyen hari ini dianggarkan sekitar $1.57 bilion di bawah syarikat Sovico Holdings. Selain VietJet Air yang menawarkan 300 penerbangan setiap hari, beliau juga melabur di HD Bank dan sektor hartanah, termasuk 3 buah resort di pesisiran pantai.

Sebagai ibu kepada 2 cahaya mata, isteri kepada Nguyen Thanh Hung itu mula mendapat idea untuk melancarkan syarikat penerbangan tambah murah semasa menjadi seorang peniaga, iaitu semasa beliau menjangkakan permintaan terhadap pengangkutan udara di Vietnam bakal meningkat.

Nguyen memiliki kelulusan PhD Pengurusan Ekonomi dari D. Mendeleev University of Chemical Technology of Russia dan Ijazah Pengurusan Ekonomi & Kewangan dari Plekhanov Russian University of Economics.

Minat dalam perniagaan disemai melalui pengalamannya mengedarkan barangan ke Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan, sebelum akhirnya beliau menubuhkan VietJet Air dan Sovico Holdings.

"Saya sentiasa menyasarkan sesuatu dalam skala besar. Apabila orang lain meniaga satu kontena, saya sudah pun meniaga beratus-ratus kontena."

Forbes menyenaraikan Nguyen sebagai di antara wanita paling berkuasa dan di antara individu terkaya di dunia.

Sumber: Forbes