Bertudung labuh bukanlah penghalang untuk menceburi dunia fesyen. Bagi usahawan muda ini, perniagaan bukan sekadar platform mencari keuntungan tetapi sebagai ibadah yang penuh syafaat. Nur Amirah Maulat Abdullah merupakan contoh Muslimah moden yang seimbang serba-serbinya, seorang pengusaha fesyen Elrah Exclusive dan pemilik jenama produk kecantikan NA Beauty.

“Saya mula terlibat dalam dunia perniagaan kira-kira empat tahun lalu. Bisnes bermula secara online pada tahun 2013, di mana saya hanya menjual produk-produk kecantikan milik orang lain. Dari situ, saya timba pengalaman dan mula membina rangkaian pelanggan sendiri.

Pertengahan tahun 2014, saya mula memberanikan diri untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri iaitu NA Beauty. Ia terdiri daripada produk serum, facial bar dan foundation yang berasaskan bahan semula jadi seperti minyak argan. Meskipun ia masih baru, namun produk tersebut berjaya meraih sambutan yang menggalakkan."

Tahun yang sama juga, Amirah mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya, Muhd. Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman. “Sejurus berkahwin, ‘bayi’ pertama yang kami lahirkan adalah Elrah Exclusive. Ilham untuk menubuhkan label pakaian sendiri tercetus daripada minat El terhadap koleksi jubah yang dipakai oleh lelaki Arab."

Di bawah label Elrah Exclusive, mereka telah melancarkan beberapa projek kolaborasi mega seperti:

  1. Altelia Amani X Elrah Exclusive
  2. Youmeandhunny X Elrah Exclusive
  3. Amy Search X Elrah Exclusive
  4. Fattah Amin by F8 X Elrah Exclusive
  5. Michael Ang X Elrah Exclusive
  6. Zukie X Elrah Exclusive
  7. Nur Aisyah X Elrah Exclusive
  8. Shaheizy Sam X Elrah Exclusive

Selain itu, usahawan ini turut menubuhkan sebuah butik multi-jenama iaitu Prima Valet di Ostia Bangi Business Avenue. Di sini terhimpun semua jenama selebriti terkenal seperti Dato' Amy Search, Shaheizy Sam, Fattah Amin, Michael Ang, Anzalna, Fazura, Nuramira Othman (AF) dan Instafamous Zukie, selain jenama Elrah Exclusive itu sendiri di bawah satu bumbung.

“Tidak dinafikan saya pernah melalui pelbagai ujian. Antaranya dalam berdepan kritikan negatif, persaingan sengit serta cabaran dalam mengeluarkan idea-idea berinovasi bagi mengembangkan perniagaan. Semua ini saya hadapi dengan cekal, berusaha menampilkan kelainan dan selebihnya, saya serahkan kepada Allah Maha Pemberi Rezeki.”

Mengakhiri pertemuan kami, sedikit ceritera Aidilfitri mengisi ruang perbualan yang mesra. “Alhamdulilah, sehingga kini sudah banyak persiapan raya yang telah diatur. Saya dan El menetapkan tema baju merah hati untuk gaya sedondon keluarga kecil kami. Seperti kebiasaan juga, kami pasti akan menyediakan menu laksa, nasi dagang, ketupat palas dan banyak lagi juadah raya bagi meraikan hari kemenangan umat Islam nanti,” akhiri Amirah dengan lembut.