Mengupas tentang persoalan perjuangan wanita muda sekarang, Datin Nor Haffiza Husni mempunyai pendapatnya yang tersendiri. “Cabaran sebagai wanita muda sekarang sangat berbeza dengan dahulu. Hidup dalam perubahan teknologi maju dan zaman viral memberi peluang dan ruang untuk wanita muda.

Mereka bertuah kerana sekarang ada banyak peluang terbuka luas di depan mata. Berbeza situ dahulu, saya ingat lagi peluang membina kerjaya hanya boleh diperoleh dengan berhijrah ke bandar-bandar besar.

Tapi, teknologi kini telah ‘mengizinkan’ wanita untuk bekerja dari rumah walau tinggal di kawasan luar bandar. Namun sebagai wanita yang baru kenal erti kehidupan, kita perlu pandai membawa diri dan bijak mencari peluang. Sebenarnya Malaysia sudah stabil dan mudah untuk mencari pekerjaan.

Cuma bergantung juga pada rezeki. Yang penting selalu berusaha dan rajin bekerja,” ujarnya menasihati golongan wanita muda.

Wanita yang berusia 35 tahun ini dilihat pandai membawa diri dengan personaliti yang terbina dalam dirinya. Mencungkil rahsia kejelitaan, tutur Datin Fiza, “Sebenarnya saya tak amalkan apa-apa petua atau tip cantik pun. Cuma mak pernah ajar saya makan putik bunga ros untuk awet muda. Amalan itu saya masih buat sampai sekarang. Seronok menanam sendiri pokok ros dan petik putiknya untuk dijadikan makanan.

Saya tak boleh makan jamu mungkin kerana tidak sesuai dengan tubuh. Hanya ambil sedikit makanan tambahan untuk memelihara kecantikan luar dan dalam.

Saya turut terjebak dengan pengaruh suami yang kuat bersukan dan bersenam. Antara sukan yang kami lakukan bersama adalah mengayuh basikal dan mendaki bukit,” ungkap Datin Fiza, isteri kepada Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah merangkap Ketua UMNO Cawangan Kampung Kubang, Datuk Abdul Karim Mustafa ini.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya yang berakhir hari ini, jawab beliau segalanya dilakukan secara berpada-pada. “Mengenai persediaan raya, saya aturkan secara sederhana sahaja. Menyediakan kelengkapan raya seperti baju raya dan juadah hari raya biasanya saya sediakan lebih awal.

Mungkin ada keluarga yang gemar memakai baju sedondon sekeluarga pada pagi raya tapi, saya lebih selesa memakai baju daripada tona warna yang sama. Kalau biru mungkin seorang biru cair, seorang biru gelap dan sebagainya,” kata Datin Fiza yang memilih warna merah burgundy dan mustard untuk sambutan Syawalnya.