Pasangan serasi ini baru sahaja berpindah ke salah sebuah kawasan perumahan elit di Seksyen 27, Shah Alam. Perjalanan pagi itu agak lancar dan mengambil masa kurang 30 minit dari pejabat. Sebaik sahaja sampai di perkarangan rumah, penulis dan jurufoto disambut penuh mesra oleh suami Suhaila Hassan, Mohd Noor Ezanie Yahaya atau lebih senang dipanggil Ezanie, 42 tahun.
 
“Jemput masuk, Suhaila ada di tingkat satu. Dia sedang disolek,” ujar beliau sambil menunjukkan arah buat penulis. Melangkah masuk ke dalam rumah ini memberikan satu suasana yang cukup mendamaikan. Dekorasi yang moden dan tidak terlalu sarat memberikan ruang buat mata dan minda untuk relaks.
 
Penulis mengetuk pintu kamar Suhaila yang sedang disolek rapi sambil memberi salam, mendengar sahaja suara penulis, beliau segera menjemput penulis masuk penuh mesra. Maklumlah kamar beradu perlu ada adab dan tertibnya, segan pula menyergah di hati penulis.
 
“Come in, jangan segan-segan buat macam rumah sendiri. Senang tak cari rumah saya? Saya minta maaf sebab saya baru sahaja berpindah, rumah ni pun belum siap dihias sepenuhnya,” ucap wanita cantik ini. Mata penulis liar memerhatikan dekorasi dan reka letak kamarnya. Rona putih melatari segenap ruang, lengkap dengan meja bercermin siap pasang bagi menyimpan aksesori-aksesori untuk dipadankan dengan setiap busana miliknya.
 
Paling mengujakan, beliau memiliki walk-in closet yang sememangnya menjadi impian buat setiap wanita. Busananya disusun dan disangkut rapi mengikut jenis yang sama, cukup kemas dan tersusun. Sedang penulis asyik berbual dengan Suhaila sementara menunggu beliau siap berdandan, anaknya Khayr Eddin, 9 tahun, datang bersalam dengan penulis. Comel orangnya dan penuh sopan santun, bukti didikan yang sempurna diberikan oleh kedua ibu bapa tercinta.
 
Ikuti ceritera cinta Suhailah dalam NONA Edisi Perkahwinan April ini.