Pada tahun 2001, Juriyana atau lebih mesra dengan panggilan Juju memilih Dublin, Ireland menjadi ‘persinggahan sementara’ untuk dia menimba pengalaman. Antara cita-cita dan harapan, dia akhirnya berjaya mendapat apa yang dihajati.
 
“Seronok sangat apabila kita berada di negara orang. Bukan tidak teringatkan negara sendiri tetapi kita dapat merasai kelainan. Sedih meninggalkan keluarga itu sudah semestinya. Untuk menghilangkan rasa rindu, keluarga Malaysia di sana menjadi pengubat. Pada usia 23 tahun, saya sudah merasai sambutan Ramadhan di negara orang. Di sana, rakyat Malaysia seperti sebuah keluarga. Sama juga seperti perantau di sini, apabila bertemu mereka umpama pengikat tali persaudaraan.”
 
“Pada awalnya saya ingat berpuasa di negara orang lebih mudah, kebetulan kali pertama menyambut Ramadan jatuh pada musim sejuk. Di Malaysia, bulan puasa lebih panas dan kita cepat dahaga. Ruparupanya sangkaan saya meleset. Mencabar juga berpuasa pada musim sejuk! Seawal jam empat pagi, saya sudah bersedia untuk bersahur, walaupun agak liat untuk bangun kerana pada musim sejuk tidur adalah aktiviti paling nikmat! Mahu tak mahu, gagahkan juga badan untuk bersahur kerana jika tidak, jam 10 atau 11 pagi perut akan mula
berkeroncong. Maklumlah… cuaca sejuk. Perut sentiasa minta diisi,” kata Juju.
 
Seronok mendengar pengalaman Juju. Petah bicaranya yang teruja kala bercerita membuatkan penulis terasa seolah-olah berada bersamanya. “Setiap kali bangun sahur, saya teringat masakan ibu. Terbayangbayang suasana di Malaysia. Celik mata sahaja, hidangan untuk
bersahur sudah tersedia di atas meja. Sewaktu saya ke Dublin, saya masih single. Memang terasa sunyi apabila bangun pada waktu pagi berseorangan. Makin kuat rasa rindu pada Malaysia.” Menggali kisah Juju di perantauan, penulis akhirnya dapat mengembara ke satu episod cinta indah. “Bulan Ramadhan juga menggamit perasaan cinta saya pada suami, Mohd Rizal Kadiran.
 
Pertemuan yang tidak dirancang akhirnya membawa kami ke jinjang perkahwinan. Di sana, rakyat Malaysia umpama sebuah keluarga minoriti. Tiba bulan puasa, kami akan bergilir-gilir berbuka puasa di rumah mereka. Menerima jemputan berbuka puasa di kediaman
senior saya yang kebetulan rakan serumah suami, membuka laluan perkenalan di antara kami. Setahun selepas berkenalan, kami mengikat tali perkahwinan pada tahun 2004.”

 
MANISNYA BERDUA

Keberangkatan Juju ke negara yang terkenal dengan tarian tap tersebut adalah satu langkah yang merubah hidupnya. Walaupun bersendirian tetapi Juju gembira dengan keputusan yang diambil. “Saya membuat keputusan untuk bekerja di Dublin kerana bimbang tidak berjaya di dalam peperiksaan akhir kertas ACCA. Jika gagal, peluang untuk mendapat tajaan MARA akan terus berkubur. Kerana memikirkan kebarangkalian yang negatif, saya memohon bantuan beberapa rakan di Dublin untuk mendapatkan informasi bagaimana untuk bekerja di sana.”
 
“Sudah tercatat dalam pintu rezeki saya, akhirnya saya mendapat kerja dan tempat tinggal setelah tiga minggu berada di Dublin. Apa yang saya rancang semuanya dipermudahkan jalannya oleh Allah. Malah, lebih menggembirakan apabila saya mendapat keputusan
cemerlang di dalam peperiksaan ACCA. Pinjaman pelajaran itu akhirnya menjadi biasiswa, Alhamdulillah.”
 
“Mengingati kembali saat-saat berpuasa di sana, ada suka dan duka. Yang dukanya sebab saya berseorangan pada awal-awal penghijrahan ke sana. Bangun sahur sendiri, masak sendirian dan makan sendirian. Selalunya jika di Malaysia, buka mata sahaja hidangan sudah tersedia di atas meja. Ikan bilis goreng berkicap dengan cili padi sudah cukup membuka selera pada awal pagi. Hidangan sama saya sediakan di Dublin tetapi feel berbeza. Tiada wajah adik-beradik dan ibu bapa. Saya juga bukanlah pandai sangat memasak, tetapi ilmu masakan dari ibu saya gunakan sepenuhnya di sini.


RINDU
 
Diam tak diam, sudah dua tahun Kota Dublin ditinggalkan. Setiap memori di sana masih segar diingatan. Malah Juju masih merindui Dublin. “Hubungan akrab di antara saya dan keluarga adalah satu alasan kukuh untuk kembali ke Malaysia semula.“
 
“Impian untuk mendapat pengalaman bekerja di sana sudah pun terlaksana. Bonusnya, saya juga telah bertemu jodoh dengan suami di Dublin. Saya, suami dan anak-anak kini memulakan kehidupan di tanah sendiri setelah pelbagai kesusahan dan kegembiraan dikecapi di Dublin.”
 
Kenangan yang masih terbayang di mata sewaktu di sana, “Masih saya ingat, pada satu hari saya berjalan sejauh 1 kilometer membawa barang dapur di dalam cuaca sejuk. Hanya Tuhan tahu kesejukan dan kepenatan yang dialami sepanjang perjalanan ditemani air mata
dek kerinduan pada ‘kampung halaman’.

“Kini Ramadan kembali lagi. Kemeriahan menyambut bulan puasa tidak perlu diperkatakan. Anak-anak saya, Mohd Ikhram, Qistina Laiqa dan Dylan Muhriz juga sudah mula biasa berpuasa. Sewaktu di sana, mereka masih kecil tetapi saya masih mengejutkan mereka untuk bersahur. Saya telah dididik untuk bangun sewaktu sahur dan perkara sama saya ajarkan kepada mereka. Inilah kenikmatan Ramadan… anda tidak mampu menidakkan keistimewaan pemberian Ilahi.”