Sebelum ini selebriti popular yang juga ikon belia, Neelofa pernah mengeluarkan kenyataan agar tidak menggunakan media sosial sebagai platform persaingan artis, kali ini Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain pula meluahkan rasa bimbang terhadap isu yang sama.

Kebimbangannya disuarakan kepada Nona dalam edisi Ogos 2017 iaitu banyak aplikasi sosial disalah guna pelayar Internet terutamanya apabila melibatkan isu perkauman, agama dan sebagainya.

Dalam kemegahan negara mengecap usia kebebasan buat kali ke-60 tahun dan berbaki seminggu saja lagi sebelum melangkah ke bulan Ogos iaitu bulan sambutan kemerdekaan negara, pemikiran skeptikal masyarakat dilihat tidak seiring dengan kejayaan hari ini.

Kelakuan segelintir pengguna media sosial yang gemar ‘berperang’ dan menyebarkan informasi tanpa rujukan tidak menggambarkan jiwa masyarakat yang merdeka. Apatah lagi ada yang sengaja mencetuskan api perbalahan hingga merebak meracuni minda orang ramai.  

Apakah kebimbangan terbesar anda?

“Saya bimbang melihat anak muda pada ketika ini yang sangat selesa dengan aplikasi seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Whatsapp. Sampaikan ada yang resah jika tak dapat melayari media sosial ini dalam masa sehari. Usahkan sehari, lima minit pun rasanya sudah buatkan mereka tak senang duduk.

Kecanggihan perhubungan alam maya ini bukanlah yang merunsingkan saya sebenarnya. Tetapi apa yang lebih saya risaukan ialah penggunaannya tanpa kawalan dan kewarasan akal fikiran. Misalnya, berita yang tular di media sosial boleh dikatakan lebih banyak dibuat tanpa usul periksa dan diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Semuanya berlumba-lumba menghidangkan berita yang pantas seolah-olah itu lebih penting daripada mengesahkan maklumat tersebut terlebih dahulu.

Untuk mengelakkan insiden sedemikian, saya sentiasa tegaskan kepada seluruh anggota Puteri supaya memastikan berita yang diterima adalah sahih. Rujuk sumber utama ataupun buat carian di Internet daripada sumber berbeza untuk memastikan ia betul-betul sahih.

Apa yang paling mengejutkan adalah kebanyakan berita ini dianalisa sendiri pengguna media sosial dan pada pengamatan saya inilah faktor penyumbang kepada keretakan perpaduan di Malaysia. Mahukah kita kembali berdepan peristiwa hitam yang berlaku sekitar tahun 1969?

Nasihat saya, sebelum sebar atau kongsi sesuatu informasi pastikan anda fikir akibat daripada tindakan tersebut. Bayangkan kalau isu perkauman tersebar di alam maya tidak mustahil ia akan berlanjutan juga dalam dunia realiti.”

Anda memaksudkan 'Keyboard Warrior'?

“Ya! Anak muda pada hari ini agak terbuai dengan godaan kecanggihan dunia tanpa sempadan yakni dunia alam maya yang dihidangkan kepada mereka. Jaringan komunikasi Facebook, Instagram dan Twitter dijadikan sebagai laman untuk bertikam pendapat tanpa suara.

Lihat saja perkataan dan ayat-ayat yang digunakan untuk bicara bisu mereka. Sungguh lantang hingga ada yang mengguris perasaan pihak tertentu.”

Sebelum mengakhiri perbualan, ibu kepada lima cahaya mata ini sempat berpesan agar golongan belia hari ini berjuang mempertahankan kedaulatan negara sepenuh hati agar pengorbanan mendakap kemerdekaan yang dituntut generasi dahulu kekal dinikmati generasi seterusnya.