Kisah gadis manis ini yang memandu tren LRT pernah menjadi viral dan wajar dijadikan inspirasi buat generasi muda. Gadis genit kelahiran Pasir Panjang, Sekinchan ini cukup bertuah kerana pada usia 21 tahun, dia diberi kepercayaan untuk mengendalikan tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Nur Aina Asmida Jamaluddin yang dahulunya cuma seorang jurujual, kini bergelar Kapten LRT termuda di Malaysia.

Mengapa memilih kerjaya yang dimonopoli oleh kaum lelaki?

Sejak kecil saya terbiasa melakukan kerja-kerja lasak. Saya suka mencabar diri selain mencuba kerja-kerja yang lelaki boleh buat. Jadi, saya tergerak hati untuk mencuba kerjaya ini setelah melihat beberapa pemandu yang terdiri daripada wanita. Selama ini saya tak tahu adanya pemandu LRT wanita.   

Apa yang menggerakkan hati anda untuk memilih kerjaya sekarang?

Sebelum berkhidmat di Rapid Rail, saya bekerja sebagai jurujual di salah sebuah kedai makanan segera sekitar Ampang. Sepanjang bekerja di situ, setiap hari saya akan menggunakan perkhidmatan LRT dari Maluri ke Ampang. Dari situlah munculnya minat saya untuk mengetahui lebih mendalam tentang tren termasuklah mahu mencuba untuk memandunya.

Kongsikan tanggungjawab dan pengalaman pertama kali memandu tren LRT?

Memastikan penumpang selamat dan cepat tiba ke destinasi masing-masing. Selama 10 jam setiap hari, saya perlu bertanggungjawab ke atas tren yang dipandu. Pengalaman pertama kali menggerakkan gerabak, saya agak gementar. Bagaimanapun, berkat latihan yang secukupnya saya berjaya mengatasi rasa gugup. Saya juga perlu sentiasa berwaspada dan bersedia agar tidak melakukan kecuaian biarpun kecil kerana ia boleh menjejaskan jadual perjalanan tren. 

Sumber inspirasi anda?

Ibu bapa saya. Walaupun pada mulanya mereka membantah, namun akhirnya merestui kerjaya saya. Mereka sedar ini merupakan satu pekerjaan yang bagus. Saya berterima kasih kepada keluarga kerana sentiasa menyokong di samping rakan-rakan dan juga orang di sekeliling saya.

Baca kisah inspirasi ini sepenuhnya di halaman Generasi Y edisi Nona Julai 2017.