Tampil menarik dan terkini bukanlah satu perkara yang menyusahkan. Tidak perlu membeli busana yang mahal jika anda tahu bagaimana untuk memilih item yang betul dan bagaimana untuk menggayakannya. Apabila tiba bab kekurangan keyakinan pada sesetengah bahagian badan, usah risau kerana ia mampu disamarkan dengan trik fesyen.  Jom kita belajar serba sedikit daripada soalan yang diajukan oleh pembaca Nona ini.

SOALAN 1

Dalam mencari busana sempena lebaran dan rumah terbuka, saya agak sukar untuk membeli-belah secara online kerana tidak yakin dengan bentuk badan. Kalau nak tahu, saya memiliki perut yang sedikit besar dan ia merupakan kelemahan yang saya tidak suka tunjukkan. Jadi saya selalu memakai pakaian yang besar atau blaus kaftan supaya ia tidak jelas kelihatan. Apakah saranan penulis untuk saya dalam memilih baju rekaan pereka tempatan yang up to date?

Busana: Jovian Mandagie, Kree

JAWAPAN 1

Untuk masalah seperti anda, semestinya mengenakan busana rekaan kurung moden yang mengikut tubuh tidak sesuai. Tetapi anda harus bersifat terbuka terhadap bermacam-macam pilihan yang ada sekarang. Pilih busana kurung moden yang memiliki rekaan longgar di bahagian dada sehingga menutup kawasan perut. Sebagai contoh rekaan busana jenama Jovian Mandagie dan Kree ini. Kedua-dua rekaan ini direka dalam siluet A yang mana ia tidak mengikut bentuk tubuh, jadi ia amat sesuai untuk menutup kekurangan yang ada pada bahagian tengah badan (perut).

SOALAN 2

Apakah beg yang praktikal untuk digayakan dan sesuai dipadankan bersama busana hari raya? Maklumlah bila ke rumah sahabat handai dan memenuhi jemputan rumah terbuka membawa beg tote atau beg tangan agak menyusahkan. Kalau bawa beg kepit pun takut tersalah letak, jadi apa saranan penulis untuk pilihan beg musim lebaran ini?

Beg tangan mini: Gucci, Valentino, Dolce & Gabbana

JAWAPAN 2

Pilihan beg terbaik bagi situasi ini adalah beg mini yang bertali panjang. Beg mini selalunya datang dalam saiz yang lebih kecil berbanding beg tangan biasa dan ia sesuai untuk simpanan minimum seperti kunci kereta, dompet, telefon bimbit dan juga alat solek anda. Tali silang memudahkan pergerakan kerana anda tidak perlu memegang beg, jadi jika ke rumah terbuka yang sesak dengan tetamu anda tidak perlu risau bagaimana hendak menjaga beg agar selamat. Pilih rekaan ini mengikut personalitimu sama ada bercorak, penuh perincian atau polos.

*Untuk bertanya soalan kepada penulis fesyen Nona anda boleh menghantar soalan ke m.fiezreen@karangkraf.com