Stuart Vevers mungkin berkebangsaan Britain namun dari sudut visi dan kreativitinya yang memacu rumah fesyen asal Amerika Syarikat ini ternyata berjaya menterjemahkan stail americana yang hebat. Lihatlah, sejak beliau memegang tampuk utama sebagai pereka fesyen dan pengarah kreatif jenama ini, Coach 1941 terus menerus memberikan impak baik daripada segi persembahan fesyen mahupun rekaan yang dikeluarkan.

Konsep pentas ala Prairie

Terbaru untuk koleksi musim luruh 2017, Stuart menterjemahkan rekaannya dengan menyuntik elemen prairie ke dalam rekaan dan juga set pementasan fesyen. Dilihat dengan jelas di atas set rumput-rumput menguning dan juga binaan rumah ladang menjadi latar utama yang memukau. Daripada segi rekaan busana pula, kot shearling dan juga jaket biket ditonjolkan dengan sentuhan istimewa yang mana ia dilembutkan dengan tambahan perincian seperti sulaman bunga dan juga paten intarsia.

Serlahan yang jelas pada rekaan gaun boleh dilihat menerusi sentuhan perincian ropol yang mencetus gaya busana-busana klasik ala prairie yang mana ia banyak menampilkan teknik ini dalam rekaan gaun. Daripada segi pemilihan warna pula, palet rona tanah melatari keseluruhan koleksi dengan sesekali diserikan percikan rona kuning terang dan juga merah.