Wow, mendengar sahaja perkhabaran terbaru ini malam tadi, penulis cukup teruja. Maklumlah saban tahun, H&M pasti mengeluarkan koleksi khas kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal. Maklumlah kalau nak merasa sentuhan pereka fesyen tersebut, mungkin tak mampu dek harganya yang terlalu mahal.

Maka menerusi kolaborasi seperti ini, harga rekaan yang ditawarkan cukup berpatutan dan paling mengujakan ia memiliki sentuhan eksklusif pereka fesyen terkenal.

Terkini, Erdem dipilih sebagai pereka yang berkolaborasi dengan jenama ini. Koleksi ERDEM x H&M pastinya membuatkan seluruh peminat dunia fesyen tertunggu-tunggu pelancarannya secara serentak di kedai dan secara atas talian pada 2 November 2017 nanti.

Menariknya, akan ada koleksi khusus yang direka khas buat lelaki berbanding koleksi kolaborasi sebelum ini yang hanya menumpukan kepada koleksi untuk wanita sahaja.

Dari kiri: Ann-Sophie Johansson (Penasihat Kreatif H&M), Erdem dan Baz Luhrmann

Untuk konsep rekaan ERDEM x H&M ini, pereka Erdem akan melawat semula arkib rekaannya selama ini bagi meniupkan roh inspirasi dari sesetengah koleksi beliau yang diterima baik oleh dunia fesyen dan semestinya ia akan menonjolkan corak cetakan.

Menurut pereka fesyen ini, "Saya sangat gembira dapat berkolaborasi dengan H&M dan meneroka kerja saya ke tahap baru termasuklah pembuatan busana lelaki yang mana saya tidak pernah membuatnya sebelum ini." Video pengenalan kolaborasi ini dirakam oleh penghasil filem penuh visi, Baz Luhrmann.

Koleksi resort 2017 Erdem, adakah koleksi kolaborasi kali ini bertunjangkan konsep sebegini? Kita nantikan sahaja gambar kempen kolaborasi ini nanti.