Pereka fesyen ini memang tidak boleh disangkal lagi tentang kepakarannya menjadikan sehelai fabrik nampak mewah dan glamor walaupun tanpa sebarang perincian yang sarat. Semestinya saban tahun, koleksi yang beliau hasilkan menjadi salah satu koleksi yang dinanti-nantikan oleh pencinta fesyen tempatan yang mahukan suntikan gaya urban serta segar.

Koleksi terbaru lebaran 2017 oleh pereka ini mengambil inspirasi daripada alam semula jadi yang kaya dengan keindahan kurniaan Tuhan. Setiap satu konsep yang diterapkan seolah-olah oleh mewakili elemen alam yang berada di sekeliling kita. Sebagai contoh, penggunaan fabrik yang beralun lembut seperti aliran air yang menderu, corak cetakan bunga pada fabrik pula seolah-olah melambangkan kembangnya bunga di taman, susunan manik pula dihias indah berkilau bagaikan karangan baru karang di lautan dan corak abstrak marmar dengan rona jingga menyegarkan mata.

Tidak bermain dengan siluet yang keterlaluan, Alia menerapkan konsep rekaan yang ringkas berpaksikan kepada DNA baju kurung Kedah, kaftan selain dari busana ‘wrap’ berikat di pinggang yang menjadi signatur kepada rekaannya sejak awal kemunculan. Menjadikan rekaannya lebih sensual, pereka fesyen ini banyak menerapkan elemen leher V yang labuh jatuh ke dada selain menerapkan elemen off-shoulder namun diserikan dengan fabrik telus berhias sulaman labuci dan manik.