Menetap di kota London hampir tujuh tahun nyata tidak mengubah jati diri Datin Norizan sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup masyarakat Melayu. Biarpun terpaksa berjauhan daripada keluarga tersayang sebaik mendirikan rumahtangga, namun keakraban rakyat Malaysia di sana sedikit sebanyak mengubati kerinduan wanita ini. Bagi sesetengah orang, banyak amalan tradisi ditinggalkan dek perubahan moden yang terlalu pantas selama berada di luar negara. Tapi tidak bagi ibu kepada 3 orang anak ini yang tidak sama sekali melupakan tradisi budayanya.

 

Melihat raut wajah tetamu kenamaan ini persis seorang selebriti popular tanah air. Ketulusan hati dan naluri keibuan Datin Norizan begitu terserlah dalam mendidik tiga anaknya, Amira Sofia (15), Ameerul Daniel (13) dan Izzat Emir (11). Walaupun ada ketika terpanggil untuk kembali bekerja dalam bidang perhubungan awam sebelum berkahwin, namun hasrat itu terpaksa diketepikan demi memberi tumpuan dan perhatian kepada anak-anak. Baginya, keluarga adalah keutamaan dan mahu melihat ketiga-tiga cahaya matanya meningkat dewasa di depan mata.

 

Mengalami proses berpantang di luar negara merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Datin Izan. Biar jauh beribu batu, beliau tetap akur dengan nasihat ibu yang tegas dalam penjagaan  kesihatan sepanjang tempoh berpantang. Tidak wujud perkataan culas untuk mengamalkan pemakanan jamu dan khasiat ikan haruan.

 

“Semasa di London, produk ikan haruan adalah penawar paling bagus dalam berpantang. Saya terpaksa meminta pertolongan daripada suami kawan-kawan yang bekerja sebagai juruterbang untuk membawa pulang ikan haruan. Semua orang tahu mengenai kebaikan ikan haruan. Di sana, ibu turut memakaikan pilis dan menyediakan jamu untuk dimakan. Maklumlah, cuaca di sana sejuk dan jamu berperanan sebagai pemanas badan. Pendek kata, petua dan amalan tradisional ini menjadi kemestian dalam hidup saya. Pengaruh daripada ibu turut membantu pemilihan dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

 

Pemakanan adalah asas penting dalam mendapatkan diet seimbang. Selain tidak lekang menikmati hidangan seimbang dan berzat, Datin Izan juga ada melakukan aktiviti sihat bagi menjaga stamina dan kesihatan tubuh badan. Ia merupakan satu minat dan hobi beliau di kala mempunyai masa terluang.

 

“Baru-baru ini saya menghadiri sebuah majlis yang dihadiri keluarga diraja. Dan antara aktivitinya adalah tarian poco-poco. Gerak tari yang perlahan dan kadangkala rancak membuatkan kita mudah membakar lemak di samping keseronokan bersama-sama rakan lain. Tetapi, saya lebih memilih untuk menggemari tarian chacha kerana rentak yang lebih rancak,” ujarnya lagi.

 

Wanita mana yang tidak gemarkan fesyen dan mahu menyediakan sajian terbaik buat seisi keluarga. Begitu jugalah yang dialami Datin Izan dalam meniti hari sebagai suri hati orang kenamaan dan seorang ibu. Ketahui fesyen kegemaran Datin Izan dan petua pemakanan keluarganya dalam Nona Edisi Rumah Terbuka September ini.