Selangkah kaki menerjah ruang makan serba indah ini terus membuatkan penulis rasa selesa. Lontaran rona pastel dan tanah meresapi benak fikiran yang kusut. Banyak mengetengahkan elemen eko moden untuk ruang makan, konsep ini menyampaikan maksudnya yang mementingkan keselesaan pelanggan.

 

Secara keseluruhannya, Delicious Café di Dua Residency ini mempunyai daya tarikan yang rata-ratanya memikat pelanggan yang berada di persekitaran dan kakitangan dari pejabat berhampiran. Lampu bergantungan dalam sangkar burung yang tampak klasik memberi suasana yang lebih romantik dan tenang. Bukan sahaja kehadiran anda ke sini untuk memadatkan ruang waktu rehat atau bersama teman tetapi anda juga boleh mengadakan gathering bersama orang-orang tersayang.

 

Ilham daripada gantungan sangkar burung dan perhiasan reranting kayu memunculkan mood apabila anda membawa bersama pasangan untuk menikmati hidangan yang disajikan di sini. Sungguhpun ruang makan luas tetapi anda masih mempunyai ruang untuk berasa intim bersama orang tersayang.

 

Sebaik hidangan yang dipesan tiba, anda boleh menikmatinya dengan perasaan tenang. Konsep Delicious Café yang menggunakan cermin sepenuhnya memberi pelanggan merasai pancaran matahari semula jadi pada waktu siang.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Delicious Café, Steve Allen, hidangan yang disajikan di sini adalah yang terbaik. Pengalaman selama 11 tahun bekerja untuk cef terkenal Gordon Ramsay di Claridges Hotel, London membolehkan Steve memberikan sajian terbaik buat rakyat Malaysia yang datang ke Delicious Café.

 

Delicious Café juga memperkenalkan menu minuman baru yang menyeronokkan termasuk Deli’spresso ice blended terbaru untuk rangkaian pilihan kopi. Ia juga termasuk yogurt crush, ice blended yogurt smoothies tanpa lemak, seleksi teh ais yang menyegarkan, Chai Latte dan kopi diperbuat dari UTZ dan USDA, biji kopi organik yang diperakui Columbia dan ‘Juan Valdez’.