Bagi yang ingin menikmati hidangan Cina yang halal dan menyelerakan, Restoran Tao yang terletak di Intercontinental Kuala Lumpur adalah destinasinya. Penyediaan sajian yang hanya menggunakan bahan-bahan segar sebagai intipati resipi makanan ini menambahkan lagi keenakan rasa dan tarikan kepada pelanggan.

 

Sebagai orang penting yang harus menggalas mutu dan kualiti makanan Restoran Tao, Cef Wong sentiasa mementingkan kesegaran bahan mentah sebelum diolah menjadi sajian lazat dan berkhasiat. Selain berpeluang menjamu barisan hidangan dim sum, sup, mi, sayur-sayuran dan cendawan, pengunjung turut dapat merasai pelbagai sajian pencuci mulut yang disediakan dengan penuh ketelitian dan enak. Antaranya, Tao Experience Dessert, Chinese Pancakes with lotus flower paste, Poached black sesame glutinous dumpling with warm soya bean dan banyak lagi.

 

Keunikan Restoran Tao terserlah dengan pengaruh kepercayaan zaman klasik Cina. Di samping menyediakan hidangan masakan dari negara tembok besar ini, pelanggan turut boleh menikmati makanan dalam suasana yang lebih privasi. Pilih sahaja satu daripada enam bilik yang disediakan di sini yang setiap satunya diberi nama berdasarkan zaman kegemilangan dinasti di China seperti Ha, Song, Tang, Yuan, Ming dan Qin.

 

Restoran Tao dibuka kepada orang ramai setiap hari Isnin hingga Ahad dari tengah hari hingga 2.30 petang untuk makan tengah hari dan 6.30 petang hingga 10.30 malam untuk makan malam.