Pastinya sudah ramai mengenai Ben’s. Menempatkan jenama ini di pusat membeli-belah terkenal negara seperti Suria KLCC, Ben’s memahat moto “to eat is to love” buat anda yang ingin ke sini. Ben’s Malaysia dilihat sebagai sebuah restoran yang mampu menanam memori dalam bentuk persembahan hidangan dan peneman setia.

 

Ben’s lahir daripada nama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BIG Group, Benjamin Yong meletakkan tumpuan sepenuhnya kepada keselesaan pelanggan. Falsafah kehadiran Ben’s mudah, pembinaan dan kekukuhan perhubungan serta pengalaman melalui kecintaan pada hidangan enak dengan kehadiran teman tercinta.

 

Duduk sahaja di meja pilihan, menu hidangan turut disampaikan. Pastinya buat anda yang kali pertama datang ke sini memerlukan sedikit masa untuk membuat pilihan. Di Ben’s, menu yang tertulis cukup banyak dan cukup menggiurkan untuk dipilih satu per satu.

 

Jangkakan menu sarat dengan pilihan, daripada pilihan timur ke barat yang diberi sentuhan moden pada setiap satunya dan boleh dinikmati oleh semua orang. Apa kata mulakan hidangan anda dengan Deconstructed Thai Beef Salad dan pilih Crispy Duck Confit Spaghettini sebagai hidangan utama. Jangan hanya berhenti di situ, ambil masa dan pesanlah Macadamia Caramel Cheesecake sebagai pemanis mulut sebelum anda melangkah keluar dari restoran.

 

Bagi anda yang tidak puas berada di sini, usah risau kerana anda boleh terus memesan pencuci mulut yang ada dalam menu. Ataupun, jika anda hanya mahu lebih masa untuk bersama keluarga dan teman di sini, anda boleh memesan cocktail, kopi atau teh yang cukup menyegarkan. Biarkan masa melewati hari asalkan keselesaan terus dinikmati.