Hampir 23 tahun rangkaian perniagaan Restoran Serai berada dalam carta F&B di sekitar Selangor. Dengan hidangan masakan Thailand, Barat dan tempatan yang memenuhi citarasa ramai, Serai mula mengembangkan empayar niaganya dengan membuka cawangan terbaru di Life Centre, Kuala Lumpur. Yang pasti, pembukaan Serai di kawasan segi tiga emas ini menepati permintaan warga kota pula.

 

“Di sini kami menyasarkan golongan daripada sektor korporat memandangkan Serai berada di titik Segi Tiga Emas. Serai bukan sahaja melayan selera anda dengan masakan enak tetapi suasana restoran yang damai juga menjadi daya tarikan. Serai di Life Centre juga memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang dengan kawasan tempat letak kereta yang lebih selesa.”

 

Menyusuri sejarah kewujudan Serai, restoran ini telah mula bertapak di Seksyen 3, Shah Alam sejak tahun 1989 yang mengetengahkan menu masakan Thailand ketika itu. Melihat permintaan dan sambutan memberangsangkan daripada pelanggan, ia kemudian membuka sebuah lagi cawangan di pusat membeli-belah Empire Gallery Subang, Paradigm Mall, Shaftsbury Cyberjaya dan terbaru di Life Centre Kuala Lumpur. Pada mulanya rangkaian perniagaan Serai diusahakan pasangan suami isteri, Shahryir Ahmad dan Rina Abdullah. Namun kini, legasi tersebut diuruskan anak sulung mereka Qistina Shahryir Taff dan suami, Najib Hamid.

 

Kebanyakan pelanggan setia Serai lebih gemar menikmati Serai Platter, nasi putih bersama ayam goreng, sambal sotong madu dan acar segar serta asam pedas ekor. Selain masakan tempatan tersebut, antara hidangan popular lain termasuk Lean Beef Burger, Steamed Fish in Lime Sauce dan Grainfed Tenderloin. Kombinasi rasa dari Barat, Thailand dan masakan tempatan ini yang dipersembahkan pasti menepati selera pengunjung.

 

Nak tahu menu menarik yang disediakan di restoran ini? Ketahuinya dalam Nona keluaran September ini.