Makanan ibarat sebuah pengembaraan yang tidak berpenghujung. Walau di mana anda berada, cita rasa sesuatu hidangan itu pasti berbeza-beza. Bagi mereka yang gemar bereksperimen dengan aneka jenis sajian, apa kata anda singgah untuk menjamu selera di Tanah Aina Cafe.

Persekitaran restoran yang terasing daripada hiruk-pikuk kota pastinya menjadi tarikan utama buat mereka yang mendambakan suasana tenang di samping insan tersayang. Terletak di pinggir Lebuh Raya Persekutuan, Tanah Aina Cafe dibina di Taman Mesra Batu Tiga, Shah Alam sejak awal Januari 2015.

Mengambil nama induk Tanah Aina sebagai jenama rasmi untuk rangkaian perniagaan yang diusahakan sebelum ini (termasuk resort dan pusat kesihatan), idea asal pembukaan kafe ini bertitik tolak daripada Puan Sri To’ Puan Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil yang merupakan ibu kepada pemilik Tanah Aina Cafe, Sharifah Farhana Tan Sri Syed Mohd Yusof.

Sejarah

“Memang kafe ini dibuka atas galakan ibu saya. Beliau cukup suka memasak terutamanya bakeri dan pastri seperti biskut atau kek. 10 tahun lepas saya menetap dan belajar di Australia jadi ibu minta saya pulang ke Malaysia dan buka kafe di sini.

Bahkan sebelum kafe ini dibuka lagi, kami memang berniaga biskut Farhana’s Oven secara online. Ia adalah resipi asli ibu saya sendiri sejak tahun 1989,” ungkap Farhana ketika ditanya mengenai Tanah Aina Cafe.

Tidak hanya terkenal dengan produk biskut Farhana’s Oven, kebanyakan pelanggan yang pernah berkunjung ke kafe ini terpikat dengan kemewahan rasa hidangan yang ditawarkan. Usah risau dengan penyediaan makanan di sini kerana hanya ramuan berkualiti digunakan untuk setiap sajian.

Pemilik juga memastikan semua ramuan bebas daripada pewarna tiruan, bahan pengawet dan monosodiom glutamate (MSG).

Menu

Antara menu popular di Tanah Aina Cafe yang wajib anda cuba ialah Nasi Briyani Lamb, Nasi Goreng Tanah Aina dan Laksa Penang. Selain menu cita rasa tempatan seperti Noodles Sup, Curry Noodles dan Nasi Ikan, terdapat pilihan menu Itali termasuk piza, Spaghetti Bolognese, Fettucine Carbonara, Aglio Olio dan Lasagne.

Begitu juga sajian Barat dan set pencuci mulut. Congkak Tea for Two misalnya adalah set pemanis mulut yang dihidangkan bersama minuman teh atau kopi dengan variasi kek dan biskut rangup.

Tidak hanya mementingkan dekorasi restoran, cara penyediaan sesuatu makanan di Tanah Aina Cafe turut diambil kira. Sebagai tarikan kepada para pelanggan, Farhana dan ibunya mencipta pengalaman gastronomi di sini dengan menghidangkan makanan dalam pelbagai bentuk menarik.

Misalnya, Nasi Goreng Tanah Aina yang dihidangkan di dalam bekas lesung batu dan Congkak Tea for Two yang dihias cantik di atas bongkah congkak! Mungkin sesuai untuk bawa famili jalan-jalan menjamu selera dan high tea, hari ni!

Kreativiti yang dizahirkan pemilik restoran ini seharusnya diberi pujian kerana tampil dengan idea berbeza. Ruang kafe yang luas turut diserikan dengan dekorasi moden dan kontemporari serba sederhana.

Pemilihan perabot berunsurkan kayu dan hiasan pepohon hijau melengkapkan elemen tenang di sini. Gambaran sempurna seolah-olah sedang menjamu selera bersama keluarga di rumah.