Kafe Bonda ini telah beroperasi semenjak tahun 2008 lagi. Sememangnya pemilihan nama kafe ini cukup menarik dan mudah diingati. Malah kita sendiri jika sebut Bonda tentu sahaja akan terfikir, air tangan bonda sentiasanya sedap dan enak. Istimewanya Bonda Kafe ini, pada waktu tengah hari, hidangan nasi campur dengan pelbagai hidangan lauk pauk akan disajikan sehingga jam 3 petang.

 

Jika hari biasa 8 jenis lauk dihidangkan dan di hujung minggu lebih daripada 15 lauk pauk menyelerakan boleh menjadi pilihan. Disebabkan harganya yang cukup murah dan amat berpatutan, Kafe Bonda mendapat sambutan cukup padat terutama pada waktu tengah hari. Kebiasaannya berbaris panjang pengunjung di luar tangga Kafe dan bukan sahaja padat dengan masyarakat Malaysia di sana tetapi juga dipenuhi oleh orang tempatan.

 

Paling penting, sate ayam dan daging bersama kuah kacang istimewa oleh Chef Raja Azizah cukup enak. Berpucuk-pucuk sate penulis nikmati, sepertinya berada di Malaysia bersantai bersama teman dan menjamu selera masakan Melayu yang sedap. Sebagai pencuci mulut, anda boleh memilih pelbagai jenis kuih muih dan  kek yang cukup menyelerakan. Paling penting, ciri-ciri masakan tradisional Melayu terus dikekalkan.