Seharian mengisi ruang waktu dengan kesibukan di pejabat, tibalah masanya untuk memberi ketenangan kepada jiwa dan minda. Beriadah menjadi pilihan utama untuk menyihatkan badan tetapi bagi sesetengah di antara kita, ‘beriadah’ di restoran mahupun kafe menjadi pilihan yang menyeronokkan. Bercambahnya restoran-restoran dan kafe-kafe baru di Malaysia ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
 
Keunikan yang diketengahkan dalam hiasan dekorasi dan penyampaian hidangan menjadi keutamaan pengunjung. Di Coffee Planet misalnya, atmosfera berbeza dengan keistimewaan kopi Timur Tengah menjadi daya tarikan. Coffee Planet bukan nama asing di Dubai bahkan dek pengaruh pengunjung yang seakan jatuh cinta dengan keenakan rasa kopi di sini yang membawa jenama antarabangsa ini ke Laman Seri Business Park, Shah Alam.
 
SANTAI
Bayangkan kehadiran anda di sini bersama teman dan keluarga. Atau, bawalah ibu untuk meraikan Hari Ibu di sini kerana dekorasinya yang ringkas dan moden seolah-olah bergabung serasi untuk mengotakan suasana santai dan selesa. Biarpun tanpa sentuhan perabot-perabot mewah namun Coffee Planet membawa pengaruhnya yang tersendiri kepada pengunjung.
 
Dalam mengamati susun atur ringkas di dalam kafe ini, anda akan berasa selesa dengan rekaan dan dekorasi ringan. Pilihan rona merah, hitam dan putih seakan mesra dengan suasana di sini. Seandainya anda bercadang untuk membawa ibu atau isteri ke sini untuk sambutan Hari Ibu, bolehlah anda nikmati kopi sambil berborak. Ruang privasi yang diperuntukkan seakan memberi compliment antara satu sama lain.
 
Bagi yang inginkan minuman panas, anda boleh memesan salah satu senarai yang terdapat dalam menu Hot Stuff. Pilih sahaja antara Macchiato, Americano, Latte, Cappuccino, Mocha, Hot Chocolate atau Espresso. The Cool Down pula menawarkan minuman sejuk untuk membasahkan tekak. Iced Latte, Smoothies, Frappes, Iced Mocha, Iced Tea dan Something Soft, semuanya nampak menarik untuk dinikmati.
 
Coffee Planet turut menawarkan menu makanan menyelerakan. Sebagai permulaan, pelanggan berpeluang merasai keenakan Breakfast Croissant yang menggabungkan turkey ham bersama keju Emmental serta mayones mustard. Selain itu, anda juga boleh memesan beberapa jenis sandwic dan salad. Sebagai pencuci mulut, anda boleh menikmati kemanisan pelbagai jenis kek seperti Red Velvet, Cheese Cake dan beberapa perisa lagi. Pada penggemar yang sentiasa ingin menikmati hirupan kopi jenama ini termasuk ketika di rumah, Coffee Planet dengan berbesar hati mengeluarkan pek istimewa yang mengandungi 250 gram biji kopi. Ia boleh didapati terus di cawangannya iaitu di Shah Alam. Untuk mendapatkan rasa yang saling tidak tumpah, Coffee Planet turut menjual pengisar kopi keluarannya.