Garapan dua elemen bunga dan rempah disatukan menjadi lambang identiti restoran. Unik dan tersendiri, ruang makan Melur & Thyme yang terletak di aras 5 pusat beli-belah Nu Sentral Kuala Lumpur menghidangkan 1001 rasa memikat yang pasti menjemput selera anda tatkala berkunjung ke sini. Tidak sekadar menawarkan aneka juadah lazat untuk dinikmati, restoran berkeluasan 278 meter persegi ini nyata menjadi medan pertemuan terbaik buat golongan korporat dan seisi keluarga mengisi waktu terluang bersama.

Mampu menempatkan sehingga 200 pelanggan dalam satu-satu masa, kunjungan anda ke sini disambut mesra kakitangan Melur & Thyme. Gemersik alunan muzik tradisi yang berkumandang di segenap ruang restoran menyenangkan halwa telinga. Susun atur perabot dan penataan dekorasi moden serta elegan berjaya menghidupkan suasana selesa. Tidak hairanlah, ia sering dikunjungi pelanggan setiap masa.    

DEKORASI

Paling menarik perhatian tatkala melangkah masuk ke restoran ini adalah seni ilusi sebuah keluarga sedang menikmati hidangan yang menghiasi dinding marmar putih Melur & Thyme. Pemilihan rona putih, hitam, paduan perabot kayu dan sentuhan dekorasi minimalis menyerlahkan ruang restoran.  Terdapat juga sebuah ruang makan outdoor di luar premis restoran khusus bagi pelanggan yang menginginkan suasana semula jadi berlatarbelakangkan panorama Kuala Lumpur.   

Memasuki dimensi Melur & Thyme ekplorasi gastronomi anda tidak akan lengkap tanpa mencuba menu popular berasaskan itik. Menggabungkan cita rasa tempatan dan sentuhan masakan negara tembok besar China, idea penyediaan hidangan ini tercetus ketika pemilik restoran Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee mencuba keenakan rasa itik buat pertama kalinya sewaktu menyambung pengajian di United Kingdom sekitar tahun 2009. Tertarik dengan kemewahan rasa dagingnya, beliau yang memiliki darah campuran Cina nekad mempelajari cara masakan tersebut di Beijing sejurus tamat pengajian.

MENU

Aroma harum daging itik menusuk deria bau penulis. Disaluti dengan warna emas keperangan dan isi daging empuk sudah cukup membangkitkan selera sesiapa sahaja. Ditambah pula ramuan tiga sos lazat yang pasti membuatkan anda terliur untuk menikmati hidangan Peking Duck yang dihidangkan bersama roti jala ini. Menurut Diyana, antara menu popular yang terdapat di Melur & Thyme termasuk Masak Lemak Style, Plancha Seafood Spaghetti, dan Braised Lamb Shank Pasamah.

Sesuatu yang lebih istimewa di sini adalah dua kombinasi cita rasa berbeza iaitu sajian masakan Melur menampilkan kulinari Asia sementara Thyme pula menyediakan menu masakan Barat. Bagi yang menggemari cita rasa tempatan, seleksi hidangan Ayam Masak Cili Hijau, Cumi Bakar Kicap iaitu hidangan sotong bakar, Mi Kari dan Nyonya Chicken Rendang turut disediakan. Tidak ketinggalan, menu pelega dahaga sejuk dan panas seperti Chocobanabutternut, Very Berry, Mango Smooth, Ice Blended Cafe Caramel, kopi dan teh.