Luangkan petang anda bersama insan tersayang dan biarkan mereka menikmati keselesaan dan suasana santai di sini. Di Garage 51, secawan kopi merupakan minuman wajib dipesan.

 

Keenakan kopi di sini diteliti pembuatannya hanya kerana satu perkara, pemiliknya amat gemarkan kopi dan ketaasubannya dengan minuman berkafeina menjadikan mereka pakar dalam penyediaan minuman berasaskan biji kopi. Kepakaran pemilik menyukat nisbah kopi secara tepat untuk menghasilkan secawan kopi juga membuatkan pengunjung menggemarinya.

 

Tidak hairanlah terdapat informasi bercarta mengenai penghasilan minuman kopi yang sengaja diletakkan khas untuk makluman pengunjung di situ. Kerana itu, jangan lupa untuk memesan secawan kopi tidak kiralah black coffee, cappuccino atau apa sahaja yang anda gemari. Kafe atau restoran wujud untuk memenuhi perut yang lapar juga lokasi untuk bersantai. Berbalik kepada menu Garage 51, 20 menu yang disediakan termasuklah Smoked Salmon, Grill Chicken, pelbagai variasi Baked Egg, Honey Muesli, aneka Bagel dan pelbagai lagi manisan seperti kek dan kudapan ringkas disediakan di sini.

 

“Kebanyakan menu kami bercirikan Barat. Selain keunikan dekorasi, kami beri jaminan dalam setiap sajian yang dipesan bakal menerbitkan rasa kepuasan kepada pengunjung. Semua resipi ini pula adalah resipi sendiri dan terbaik dari cef Garage 51,” jelas Kar Wai yang merupakan salah seorang pemilik kafe ini.

 

Rupa-rupanya, Garage 51 adalah cawangan kedua selepas kejayaan pembukaan restoran Coffee Societe di Publika, Damansara. Kejayaan di sana memberi keyakinan kepada pemilik untuk membuka cawangan keduanya di Bandar Sunway pula. Tambah Kar Wai, Bandar Sunway terkenal dengan kesesakan lalu lintas yang berlaku pada sebelah petang. Jadi, Garage 51 boleh menjadi titik pertemuan untuk warga kota singgah minum.