Di tingkat Mezzanine Life Centre, sebuah restoran masakan Jepun fusion dipersembahkan. Konsep asal daripada hasil idea Kevin Aoki dibawa masuk ke Malaysia buat kali pertamanya. Malah, Doraku Sushi Life Centre adalah cawangan pertama Doraku Sushi di luar Amerika Syarikat dan pertama di rantau Asia. “Doraku Sushi cukup terkenal di Amerika Syarikat. Konsep yang diketengahkan oleh Kevin Aoki adalah satu konsep yang kami rasakan mampu menarik minat penggemar hidangan Jepun di Malaysia. Di sini, kami menggabungkan selera Jepun dengan sedikit perubahan cita rasa Malaysia. Tentunya cili padi menjadi inti pati utama untuk menarik perhatian ‘food lover’ di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif HMH Group, Hafez Hashim.
 
SOS ISTIMEWA
Menurut Hafez, perancangan awal mereka adalah untuk membawa jenama lain di bawah Kevin Aoki namun apabila diusul mengenai Doraku Sushi, mereka terus tertarik dan membuka Doraku Sushi pertama di Malaysia. Keenakan hidangan yang ditawarkan di cawangan Doraku Sushi di luar negara sama enaknya dengan hasil masakan di Malaysia. Lebih istimewa lagi, Cef Eksekutif Doraku Sushi, Yutaro Tsuchiya merupakan anak didik Iron Cef Jepun, Hiroyuki Sakai.
 
Tidak hairanlah saat penulis berkesempatan menikmati beberapa hidangan popular Doraku Sushi, nikmat keenakan terasa bagai satu kepuasan. Emperor roll, Japanese beef ribs serta kesegaran minuman sejuk Ice Lychee Tea bukan sesuatu yang boleh ditolak ke tepi. Sos yang digunakan bagi membangkitkan rasa beef rib adalah kesempurnaan hidangan penulis petang itu.
 
“Kami cuba menyajikan keistimewaan berbeza berbanding restoran Jepun lain. Sepanjang enam bulan pembukaan Doraku Sushi, sesungguhnya kami mendapat maklum balas yang baik mengenai hidangan yang disajikan. Kelebihan Doraku Sushi tentunya terletak pada pilihan sos yang digunakan dalam masakan. Kami mengutamakan keinginan selera pelanggan yang datang berkunjung ke sini. Pilihan sushi yang disajikan tidak seperti restoran Jepun lain. Kalau nak cuba, silalah berkunjung ke Doraku Sushi Life Centre KL,” kata Pengarah Kumpulan HMH Group, Syed Mohammad Zayed Alsagoff.
 
Kebanyakan laman sesawang pencinta makanan yang penulis lawati kesemuanya memperkatakan mengenai hidangan yang disajikan di Doraku Sushi. Daripada pilihan sushi sehingga ke menu utama, segalanya lengkap menyempurnakan cita rasa Malaysia. Menurut Syed, saiz hidangan juga menjadi daya tarikan pengunjung ke sini.
 
“Hidangan kami adalah untuk perkongsian, sama seperti konsep yang diketengahkan di Amerika Syarikat. Ini memudahkan pengunjung untuk menikmati lebih banyak hidangan di atas meja!”
 
SELESA
Berada di Doraku Sushi membuatkan anda leka akan kesibukan kota raya Kuala Lumpur. Gabungan dekorasi moden tropika bagai serasi dengan jiwa penduduk Malaysia. Bahkan, konsep yang diketengahkan HMH Group ini juga mendapat reaksi berbeza daripada pengasas Doraku Sushi, Kevin Aoki. “Kevin Aoki pernah hadir ke sini untuk meninjau perkembangan kami dan beliau sangat terkejut dengan konsep yang kami ketengahkan. Malah, kami juga sering menerima kunjungan selebriti dari luar negara seperti Teri Hatcher, Josh Harnett dan beberapa nama lagi,” kata Hafez.