Pulau Krabi yang terletak di Thailand kini semakin menjadi favourite spot untuk pasangan yang dambakan percutian dua dalam satu; ketenangan dan keindahan.


PERTEMUAN

Bibit cinta pasangan ini bermula dengan satu pertemuan... blind date. Mungkin sekarang ini tidak ramai yang masih percaya dengan blind date namun bagi Nawar dan Azizul, itulah kemanisan dalam menuju kebahagiaan rumah tangga yang dibina hampir dua tahun lalu. Kerana kesibukan kerja, masingmasing melengahkan soal jodoh dan akhirnya, penyatuan itu dinoktahi dengan tali akad dan nikah pada 10.10.10.

“Hal utama dibincangkan sebaik selamat diijabkabulkan adalah bulan madu. Usia perkenalan kami hanya tiga bulan. Tempoh singkat itu memang hanya untuk membincangkan mengenai perkahwinan. Mujur mudah kami mencari destinasi percutian memandangkan objektif kami adalah untuk rileks. Bukan mudah hendak membuat pilihan dan akhirnya kami memilih Krabi kerana di sana lebih mudah mendapatkan makanan halal.”


PULAU KRABI

Keindahan Pulau Krabi tidak dapat disorok. Dari atas pesawat lagi, lautan biru terbentang luas, melonjakkan keinginan untuk berendam. “Pulau Krabi belum dikomersialkan secara keseluruhan lagi, kata orang masih ‘mentah’. Inilah tujuan utama kami, mencari destinasi yang
privasi pada harga berpatutan. Krabi sungguh istimewa, bukan hanya indah untuk sajian mataa tetapi masyarakat. Tidak lama dahulu, Krabi pernah dilanda Tsunami sehingga menyebabkan kemusnahan. Kerana itu, penduduknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Tidak mampu membayangkan bagaimana keadaan mereka ketika bencana itu menimpa.”

“Bertemankan deruan ombak menghempas pantai, pemandangan mata pula cerah dengan kehijauan alam yang masih terpelihara. Pada hari pertama tiba, hujan turun renyai, membataskan perancangan kami untuk mandi-manda di pantai. Hidangan makanan laut segar di resort menjadi tumpuan utama kami untuk makan malam. Tomyam goong terbaik di sini! Sungguhpun berada di kawasan resort, kedinginan angin laut membalut tubuh kami yang kelaparan.”

Rugi rasanya jika tidak menikmati kejernihan air laut Pulau Krabi. Hari kedua di sana, pagi-pagi lagi Nawar dan suami sudah berseronok di pantai.

“Hari kedua lebih seronok. Seawal pagi lagi kami sudah di tepi pantai. Menikmati suara kicauan burung dan melihat hamparan lautan biru. Selesai di pantai, kami meluangkan masa berjalan-jalan sekitar tempat penginapan. Ray Lay Bay Resort menyimpan banyak khazanah alam semula jadi. Pengunjung di sana tidak perlu bersusah payah keluar dari resort kerana di sana mereka boleh menyaksikan sendiri keindahan alam semula jadi.”

“Ao Nang menjadi lokasi membeli-belah pula. Apabila diamati, suasana di sini sama seperti di Malaysia. Bahkan harganya juga tidak jauh beza. Tetapi, kualiti pada produk sutera Thai tidak disangkal. Masyarakat di sana juga peramah dan kita juga boleh tawar-menawar  dengan peniaga, sampai terleka memilih. Sudah penat tawarmenawar dan membeli-belah, kami ke spa untuk mencuba urutan Thai. Hanya RM20 untuk satu jam, tubuh umpama diberi kenikmatan!”