Mungkin ramai yang tidak tahu negara Myanmar atau dikenali sebagai Burma suatu masa dahulu mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik. Rata-rata pelancong yang pernah berkunjung ke sini menggelarnya sebagai Tanah Emas. Gelaran ini diberikan lanjutan daripada wujudnya ribuan pagoda berusia lebih 10 dekad berbentuk ukiran unik dan bertatahkan emas permata. Satu pemandangan yang amat menakjubkan!  

 

Berkunjung ke Myanmar bukan sahaja terhidang dengan keindahan panorama mengasyikkan semata-mata. Bahkan, ia sesuai buat mereka yang obses mendalami sejarah Myanmar dan mencintai seni bina serta ukiran yang terdapat pada setiap bangunan. Nikmati keunikan seni bina di ibu kota Myanmar dan kunjungi muzium arkeologi yang menempatkan barangan tinggalan sejarah.

 

Lazimnya, negara yang popular dengan tarikan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi ini menjadi lokasi tumpuan bagi penganut agama Buddha.  Kewujudan tempat-tempat suci seperti Shwedagon Pagoda yang berusia 2,600 tahun dan Kyaiktiyo Pagoda atau ‘Golden Rock’ merupakan faktor kedatangan mereka ke Myanmar.

 

Bagi yang berhasrat menjenguk destinasi pelancongan Myanmar, jangan lupa membawa pulang cenderahati diperbuat daripada batu permata, kain tenun dan sutera, batu nilam, delima dan jet dengan harga berpatutan. Pasar Bogyoke Aung San atau ‘Scott Market’ adalah destinasi terbaik untuk mendapatkan souvenir.

 

Usah risau untuk mencari makanan halal di Myanmar. Terdapat banyak kedai makanan Muslim dan India dibuka di Yangon. Biarpun negara ini menjadi lokasi tumpuan penganut Buddha, namun pelancong Muslim juga mampu menunaikan ibadat dengan selesa di masijd-masjid sekitar bandar. Antaranya Masjid Sunni Jamah Bengali, Masjid Surti Sunni Jamah dan Masjid Chulia Dargah.