Jika tahun lalu kita mendengar desas desus bahawa busana yang digayakan oleh para pramugari Malaysia Airlines akan ditukar, namun sehingga kini tiada perkhabaran baru tentang perkara tersebut, entah jadi entah tidak. Kelmarin, tiba-tiba kita dikejutkan dengan uniform baru Hainan Airlines yang sungguh menawan bertaraf busana couture yang mahal. Terpegun dan terpesona penulis melihatnya.

Membawa roh fesyen secara serius 35'000 kaki di atas awan, syarikat penerbangan yang berpangkalan di China ini memperkenalkan uniform baru mereka di Minggu Couture Paris. Direka oleh Laurence Xu, uniform ini menggabungkan perincian klasik dengan stail rekaan yang fashion forward. Keseluruhan rekaan buat pramugari direka berasaskan busana tradisi wanita cina iaitu Cheongsam. Fabrik yang digunakan menampilkan serlahan warna dan corak yang cukup ceria yang mengingatkan kita kepada lautan dan juga gunung serta awan.

Setiap uniform hadir dengan rekaan kot pendek dan juga labuh.

Biarpun direka cukup stailish, ciri-ciri yang dipersembahkan pada busana ini menyuntik cita rasa timur yang sopan dengan pemilihan rekaan lengan paras siku dan juga labuh busana pada paras lutut. Kedua-dua elemen ini untuk memudahkan pergerakan kepada pramugari yang bertugas. Mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum dilancarkan, Laurence Xu menghasilkan lebih 1000 rekaan dan mengujinya terlebih dahulu dengan 100 busana contoh dan aksesori untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

*Bagus juga jika tiada pertukaran uniform Malaysia Airlines, bagi penulis rekaan kebaya tersebut sudah cukup menawan dan mewah menyerlahkan ciri-ciri budaya dan kesenian Malaysia di mata dunia.