Kalau sebut saja perkataan farmasi, tentu jenama Guardian akan meniti di bibir sebilangan besar rakyat Malaysia. Betul tak? Mana tidaknya, tahun ini Guardian Malaysia meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan lebih banyak perancangan hebat untuk terus mengekalkan posisinya sebagai peneraju pasaran.

Cawangan pertama farmasi ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1967. Masa tu ia dikenali sebagai Weld Pharmacy dengan kedai berkeluasan 200 kaki persegi di dalam Pasar Raya The Weld. Weld Pharmacy hanya terlibat dalam penjualan barangan farmaseutikal semata-mata.

Jika dahulu, rakyat Malaysia mengenali Guardian dengan nama Guardian Pharmacy, namun ia telah ditukar pada tahun 1971. Cawangan kedua farmasi ini seterusnya telah dibuka di Jaya Shopping Complex, Petaling Jaya manakala cawangan ketiga farmasi ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1979 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

LEBAR SAYAP

Seiring dengan perkembangan pasaran produk kesihatan dan kecantikan, ia terus berkembang dengan pembukaan lebih banyak cawangan di Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak. Hari ini, Guardian  telah melancarkan semula Guardian Weld yang kini merupakan sebuah ruang perniagaan berkeluasan 1,652 kaki persegi yang berwajah baru selaras dengan penjenamaan semula Guardian.

Bagi Guardian Malaysia, ulang tahun turut diraikan secara tradisi menerusi sumbangan semula kepada komuniti menerusi Projek Amal Ulang Tahun. Projek tersebut diteruskan dengan membantu menghias semula 10 buah rumah kebajikan termasuk tujuh rumah anak-anak yatim di seluruh negara.

Projek yang bakal mengambil masa enam bulan itu dijangka dapat membantu meningkatkan persekitaran hidup sekurang-kurangnya 500 kanak-kanak yang tinggal di rumah tersebut. Guardian turut mengadakan sebuah promosi ulang tahun dengan kerjasama bersama Petron, Jotun, Makeover Guys dan Kuvings di mana pelanggan berpeluang memenangi pakej hias semula kediaman.

Pelanggan hanya perlu berbelanja sebanyak RM10 dan ke atas di dalam satu resit di mana-mana cawangan Guardian, isikan maklumat peribadi dan jawab tiga soalan mudah atau isi petrol RON 95, RON97 atau RON100 minimum RM10 di Petron dengan Kad Miles Privelege Petron yang sah. Selamat mencuba!