Lima malaikat kecil yang dulunya berlarian keliling rumah, melompat dan bermain seperti tiada esok, meraung teresak-esak pabila diusik serta memaut bahunya untuk meminta susu, kini hanya tinggal kenangan manis buat YM Tengku Datin Sri Zawyah.

Tiga daripada empat anakanda lelakinya, kini sudah pun memilih wanita lain sebagai ratu baru di hati mereka. Meski dari jauh, kelibat wanita yang mesra disapa Kak Engku ini tersenyum bahagia, tapi hanya Tuhan yang tahu bagaimana seketul hatinya bercampur-baur.

Antara gembira dan sebak... melepaskan seorang demi seorang anak ke alam rumah tangga.

Kata Kak Engku, "Entah kenapa setiap kali mendengar anak-anak melafazkan nikah, hati saya jadi tersentuh. Saya gembira untuk kebahagiaan mereka dan bibir tidak putus-putus berdoa agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia buat selama-lamanya."

Sebagai ibu mertua kepada Nasha Alyssa, Tya Arifin dan bakal tidak lama lagi, Izara Aishah, sifat penyayang yang bersebati dalam diri wanita ini membuatkan dia serasi dianggap seperti ibu kandung. Terpanggil untuk mengetahui perkhabaran terbarunya, Nona menghubungi Kak Engku hari ini.

Pertamanya, tahniah buat Kak Engku dan famili di atas pertunangan Adib dan Izara minggu lepas. Nampak semakin kurus, boleh 'share' rahsia yang diamalkan?

Eh, tak ada rahsia apa pun! (ketawa). Saya cuma amalkan suplemen dan selebihnya buat senaman secara konsisten. Sebenarnya berat badan tak turun sangat tapi alhamdulilah nampak sedikit susut dan 'kecil' sikit daripada dulu. Yang penting pada usia ini, fikiran dan tubuh badan sentiasa sihat.

Berapa lama praktis kaedah ini?

Sekitar 3 bulan saja.

Sewaktu baru menimang cucu tempoh hari, difahamkan Kak Engku sendiri yang jaga menantu berpantang. Perasaan Kak Engku?

Sebagai nenek, sudah tentulah saya juga teruja dengan kelahiran cucu. Kebetulan mereka (Alyssa dan Tya) pun tinggal di sini sewaktu berpantang, jadi saya bantu memantau apa yang patut. Ada tukang urut yang datang untuk uruskan rutin berpantang. Semua urusan bertungku dan bertangas juga dibuat sepenuhnya di rumah ini.

Tugas Kak Engku masa tu?

Saya lebih menitikberatkan soal pemakanan mereka dalam pantang. Memang tak bagi langsung makan makanan berminyak dan mereka mesti makan buah-buahan, iaitu buah kiwi dan oren, untuk banyakkan susu badan. Alhamdulilah semua menantu patuh dengan nasihat saya. Tya pun sampai ke hari ni masih lagi menyusukan anaknya secara eksklusif.

Penerimaan Kak Engku bila anak-anak bertemu jodoh dengan selebriti, seperti Asyraf dengan Tya Arifin dan Adib dengan Izara Aishah?

Sebenarnya tak ada masalah pun. Itu jodoh mereka dan sebagai ibu, saya terima pilihan anak-anak dengan hati terbuka. Bagi saya, Izara adalah gadis yang baik dan insyaAllah kalau ikut perancangan, dia akan slow down sikit lepas berkahwin nanti untuk fokus pada keluarga.

Begitu juga Tya. Kerjaya seninya direhatkan bagi memberi laluan pada urusan keluarga di sini. Sebagai ibu, saya cuma harap mereka pandai menjaga nama baik keluarga di mata masyarakat.

Perasaan bila menerima menantu, tentu lain rasanya bila ada anak perempuan baru dalam keluarga?

Of course saya gembira dan bahagia! Semua menantu saya baik-baik, daripada Nasha Alyssa sampailah Tya Arifin, dan terkini Izara Aishah tak lama lagi. Kami selalu bersembang macam kawan dan banyak petua-petua yang dikongsi dari seorang ibu kepada anak-anak.

Contohnya resipi makanan kesukaan anak-anak saya. Selain itu bila kami bersama, saya selalu ingatkan mereka supaya jaga suami elok-elok dan selalu eratkan pertalian keluarga.

7 Hal Menantu Perlu Tahu Tentang Ibu Mertua

Sesuatu yang tak pernah dikatakan secara terbuka, tapi hal ini sangat bermakna buat seorang wanita berstatus ibu mertua. Ambil tahu, kerana perkongsian YM Tengku Datin Sri Zawyah ini mungkin bermanfaat untuk anda yang bernama menantu.

  1. Walaupun anak lelaki sudah berkahwin dan berkeluarga, ingat bahawa ibunya tetap 'Wanita Pertama' dalam hidup mereka.
  2. Terima ibu mertua seadanya. Dia mungkin ada cara yang berbeza daripada cara anda. Fahami bahawa anda dan dirinya adalah sama-sama tidak sempurna.
  3. Hormati usia dan pengalamannya. Ibu mertua lebih memahami karakter anak-anak terutama sekali suami anda. Mereka telah hidup bersama sejak suami anda lahir.
  4. Menantu boleh berbicara soal apa saja dengan ibu mertuanya. Sama macam anak perempuan kandung lain; dari soal intimasi, hal-hal rumit sampailah masalah kerja. Kadang-kadang, telefon dan berboraklah dengan ibu mertua seperti anda bercakap dengan ibu kandung sendiri.
  5. Selesaikan banyak hal seperti satu keluarga. Semua ibu mertua mahu melihat menantunya dalam semua acara keluarga, sama seperti mereka mahu berjumpa anak dan cucu-cucunya.
  6. Jangan pengaruh suami untuk menjauhi ibunya. Hati seorang ibu tetap mahu selalu melihat anak yang dilahirkan di depan mata.
  7. Semua cucu perlukan atuk dan nenek dalam hidup mereka. Selalulah rapatkan ikatan ini. Hantar gambar terbaru anak anda, beri izin anak-anak untuk bermalam di rumah mereka, percaya dan yakinlah ibu mertua anda juga bakal menyayangi mereka seperti anda juga.