Rentetan laporan Nona tentang penyakit Peripartum Cardiomyopathy (PPCM) yang dikaitkan dengan kes viral kematian seorang guru dalam pantang, hari ini kami dikejutkan lagi dengan pengalaman wanita bernama Alia Kamarul yang mengalami situasi serupa.

Penyakit jantung PPCM itu rupa-rupanya hampir meragut nyawa ibu kepada empat cahaya mata ini. Ikuti perkongsiannya dalam melalui detik mendebarkan di bilik kecemasan hospital, apabila sekujur tubuhnya cuba diselamatkan apabila jantung berhenti sama sekali.

Daripada Facebook: Alia Kamarul

==============================

Izinkan saya berkongsi pengalaman saya juga di sini. Cerita saya pun panjang dan mmg mempunyai simptom yg sama spt Pn Aida Azura Azemi. Saya di diagnos PPCM selepas melahirkan anak ke empat.

Semasa kandungan berusia 7 bulan, saya mmg selalu kepenatan. Saya juga mengalami tangan kebas di sebelah kanan (carpal tunnel syndrome) dan kaki bengkak. Bila saya beritahu doktor O&G ttg keadaan saya, beliau tak mengesyaki apa2.

Semasa mengandung yg keempat ini, saya juga mengalami depression yang teruk, tetapi saya banyak mendiamkan diri. Selepas bersalin hari ke 26, saya mengalami Ventricular Tachicardia (VT) ketika di rumah (pada hari itu, hanya saya dan keempat2 anak berada dirumah kerana suami telah kembali berkerja setelah 2 minggu bercuti).

Semasa di serang VT, seluruh badan saya shut down tetapi otak saya masih boleh berfikir. Masa tu saya memang ingat saya akan kembali kepada Allah, tetapi saya tak bersedia lagi. Jadi saya memaksa diri untuk memusingkan badan.

Selepas berjaya memusingkan badan, saya terbatuk2 dan tercunggap2 mengambil nafas. Keadaan badan masa tu mmg sangat2 lemah, tapi saya sempat capai hp dan memanggil suami dan adik. Bila mereka sampai di rumah, saya sudah mengalami sawan.

Mereka memanggil ambulans dan bila saya sampai di hospital, semasa di atas katil di wad kecemasan, jantung saya berhenti (cardiac arrest). Saya diberi shock dan CPR. Saya bersyukur kerana sempat ke hospital. Mungkin juga kerana ajal belum tiba.

Jika saya mengalami Cardiac Arrest di rumah, mungkin saya tiada disini lagi. Saya kemudian diagnos dengan Peripartum Cardiomyopathy (PPCM). Saya juga di nasihatkan utk memakai Implantable Cardio Defibrillator (ICD) untuk membantu jantung saya yang sehingga sekarang ada masalah arrythmia.

Jadi sebagai pengajaran, perhatikanlah simptom2 yg telah Pn Aida Azura Azemi dan juga saya sebutkan. Memang sama. Cuma jantung saya memang betul2 berhenti.

Beritahu doktor kalau anda mengalami keletihan yg melampau ketika mengandung dan setelah bersalin kerana PPCM boleh berlaku dalam jangka masa 6 bulan selepas bersalin. Dari pembacaan saya, ada juga ibu yang meninggal akibat PPCM selepas 5 bulan bersalin.

Akhir kata, saya doakan semua ibu2 mengandung dikurniakan kesihatan yang baik agar dpt menjaga dan membesarkan anak2 dgn penuh kasih sayang. Doakan juga agar saya disembuhkan oleh Allah SWT.

==============================

Penyakit jantung ini amat jarang berlaku dan masih tidak banyak maklumat atau program kesedaran yang mendalam terhadap risiko PPCM di negara ini. Menurut sumber Healthline.com, PPCM hanya terjadi pada wanita hamil atau sejurus melahirkan bayi. PPCM bertindak melemahkan otot jantung dan menyebabkan jantung membengkak, sekaligus membuat darah gagal dipam dengan baik ke seluruh tubuh.

Persatuan Jantung Amerika menjelaskan bahawa PPCM menyerang 1,000 ke 1,300 wanita Amerika Syarikat setiap tahun.

Apakah penyebab PPCM yang sebenarnya?

Jantung kita mengepam 50% lebih kuat sewaktu hamil. Ini kerana ibu hamil perlu memindahkan oksigen dan nutrien penting kepada janin yang dikandung. Para doktor percaya bahawa PPCM terjadi akibat proses ini disamping faktor-faktor risiko kesihatan yang lain.

Komplikasi yang selalu dikaitkan dengan PPCM pula adalah arrythmia, penggumpalan darah di paru-paru, kegagalan jantung dan kematian.

Siapakah yang berisiko mengalaminya?

  • Penghidap obesiti
  • Penghidap darah tinggi
  • Penghidap diabetes
  • Wanita yang mempunyai sejarah penyakit jantung seperti myocarditis
  • Orang bermasalah malnutrisi
  • Perokok
  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Kehamilan lebih daripada sekali
  • Berusia lebih 30 tahun
  • Ubat-ubatan kerana kelahiran pramatang

Simptom yang biasa dikesan?

  • Peningkatan denyutan jantung atau palpitasi
  • Sakit dada
  • Keletihan melampau
  • Keletihan semasa membuat aktiviti fizikal
  • Nafas pendek dan tersekat-sekat
  • Bengkak di bahagian kaki atau buku lali
  • Kerap buang air kecil pada waktu malam

Apakah rawatan yang sepatutnya diambil?

Anda perlu ditahan di hospital sehingga simptom terkawal. Rawatan yang diberikan adalah bergantung pada keadaan semasa. Kerosakan yang teruk mungkin menentukan sama ada anda memerlukan transplan jantung atau tidak.

Untuk beberapa kes kritikal, pemindahan jantung atau balloon heart pump akan dilakukan. Tapi bagi yang terkawal, rawatan yang disyorkan melibatkan cara mengurus atau mengurangkan simptom. Wanita yang mengalami PPCM juga perlu mengamalkan diet rendah garam untuk mengawal tekanan darah mereka. Rokok dan alkohol perlu dihentikan sama sekali.

Apakah cara pencegahannya?

Dengan senaman berterusan, amalan diet rendah lemak, jangan merokok atau mengambil alkohol. Wanita yang didiagnosis dengan PPCM juga berisiko untuk mengalaminya pada kehamilan akan datang. Seeloknya amalkan kaedah merancang keluarga untuk mencegah kehamilan.

==============================

Versi Asal