Kini segalanya mudah dengan hanya di hujung jari. Kewujudan media sosial seperti Facebook, Instagram mahupun Twitter menjadi platform yang bukan hanya untuk informasi terkini bahkan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan mahupun kekeluargaan.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya apa yang kita kongsikan menjamin semua orang menyenanginya walaupun mereka dalam Friendlist kita. Berhati-hatilah dengan posting anda agar tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari. Ingat, sekali anda menekan butang post, ia sukar untuk dihapuskan dari dunia maya. 8 senarai ini Nona kongsikan sebagai peringatan.

(1) Masalah Hubungan Atau Rumah Tangga

Sangat berbahaya jika anda bercerita tentang pertikaian bersama pasangan di laman sosial. Walaupun niat anda untuk mendapatkan sokongan rakan atau keluarga, tetapi cara tersebut ternyata amat merugikan. Mereka mungkin mendengar masalah anda tetapi tidak memahami apa sebenarnya yang sedang anda alami.   

(2) Gambar Bayi Atau Kanak-Kanak Tanpa Pakaian

Yer, tahu anak anda memang cute.. tetapi walaupun comel sebaiknya gambar anak-anak yang mendedahkan sebahagian tubuhnya seperti sedang mandi dan sebagainya tidak dikongsi di laman sosial. Kita sendiri tidak tahu, mungkin di luar sana ada pedofilia atau penculik yang mahu menyalah gunakan gambar anak anda untuk perkara negatif.  

(3) Gosip Atau Kisah Memalukan Orang Lain

Jika anda mahu berkongsi gosip atau kisah memalukan, oh silakan saja... pasti terhibur pengikut-pengikut anda. Tapi ingat, ketika anda menceritakan sesuatu yang memalukan orang lain, anda sebenarnya mencerminkan peribadi busuk diri sendiri. Tolong gunakan laman sosial untuk tujuan baik-baik saja please!

(4) Alamat Atau Data Peribadi

Jangan meletakkan data peribadi mahupun alamat rumah anda di laman sosial kerana ia boleh mengundang bahaya keselamatan. Orang akan tahu di mana anda berada. Malah mungkin juga ada pencuri identiti yang menyalahgunakan maklumat tersebut untuk tujuan jahat. Contohnya memohon pinjaman Along!

(5) Kata-Kata Ejekan Atau Merendahkan Maruah Orang

Jika anda tidak senang dengan tingkah laku seseorang, elakkan dari mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkannya. Menulis luahan marah di laman sosial hanya akan mengeruhkan keadaan dan menyebarkan lebih banyak kebencian atau fikiran negatif terhadap orang lain. Bertindak secara matang. Ingat kifarah okey!

(6) Gambar Yang Tidak Sepatutnya

Mungkin anda mahu berkongsi gambar-gambar menyedihkan di laman sosial contohnya gambar jenazah atau mangsa kemalangan ngeri. Tapi orang lain mungkin fikir ia keterlaluan. Malah tanpa sedar anda mungkin telah melukai perasaan ahli keluarga terdekatnya.

(7) Kebohongan

Rasa jemu dengan pekerjaan lantas seringkali memberi alasan sakit atau kurang sihat sedangkan anda benar-benar diperlukan di pejabat ketika itu, ia bukan idea yang baik untuk dikongsikan di laman sosial. Ini bagi mengelakkan anda daripada dibuang kerja kerana malas.

(8) Berita Atau Khabar Orang Lain

Ada beberapa perkara yang tidak semua orang mahu berkongsi di laman sosial seperti kehamilan, pindah rumah, rancangan perkahwinan mahupun khabar bahagia. Jika anda mahu mengucapkan selamat kepada seseorang, sebaiknya kirimkan pesanan peribadi kepada mereka. Bukan secara umum. Kita tidak tahu kalau mungkin mereka ada alasan tertentu tidak mahu berkongsinya di laman sosial.