Bila bertuankan nafsu dan bomoh, tak mustahil kesenangan itu cuma sementara. Kisah lelaki kenamaan ini dengarnya benar-benar pernah terjadi, tapi nasib isteri yang 'digadaikan' pada bomoh itu tak siapa pun tahu. Wallahualam, semoga lelaki ini mendapat hidayah-Nya.

========================================

Aku termenung memikirkan kejahilan yang aku lakukan sendiri. Aku tunduk pada bisikan syaitan, lalu mengheret diriku menjadi makhluk yang telah menyekutukan Allah. Yang menjadi mangsa atas dosa itu adalah Mira... Maafkan aku! Terlalu berdosanya aku padamu.

Kisah bermula... Aku mengenali Shida setahun yang lalu. Memiliki rupa paras yang cantik, bentuk badan yang sempurna biarpun memegang status janda. Shida banyak membantu aku untuk mendapatkan banyak projek perniagaan. Semakin mencurah rezeki yang diterima, semakin rancak hubungan cinta kami terlanjur dalam gelombang dosa.

Perjalanan hidup aku semakin mewah. Dari kereta Proton Perdana bertukar ke BMW, dari rumah kecil tiang seribu kini diubah suai menjadi sebuah banglo. Kalau dahulu masa lapang, aku lepak bersama rakan-rakan di kedai mamak Ali Maju tetapi sekarang lebih selesa di kelab golf, walaupun hanya untuk secawan teh tarik. Fuuhhh! Hebat bukan?

Aku tidak lagi hiraukan keadaan Mira, isteri yang sudah 20 tahun susah dan senang bersamaku. Sikap aku mula berubah, keluar awal pagi dan pulang sebelum Subuh. Kerap kali alasan outstation aku berikan, tiada masa untuk bersama Mira. Anak kami Adira, aku hantar ke asrama penuh. Berjumpanya pun mungkin sebulan sekali.

Aku terus mengikut rentak skandal kesayanganku ini. Kata Shida, “Kalau abang ingin lebih kaya, mari sayang bawa berjumpa bomoh. Bukan setakat perniagaan bertambah maju, duit pun boleh dilipat gandakan.” Tanpa berfikir panjang aku turut kata nafsu. Pak Samad di hujung kampung Medan aku temui. Bukan main meriah juga perhimpunan di rumah Pak Samad ini, masing-masing pastinya mempunyai tujuan sama seperti aku. KAYA! PROJEK MASUK! KAYA! PROJEK MASUK!

Seminggu selepas berjumpa bomoh Pak Samad, rezeki aku melimpah ruah. Aku semakin ketagih bertuankan Pak Samad. Apa sahaja masalah yang timbul dan sebagainya, dialah pembantu peribadiku. Banyak juga amal jariah yang kuberikan tetapi kiranya berbaloi dengan segala yang dimiliki kini. Aku amat berterima kasih kepada Shida, ratu hatiku! Tanpa bantuannya tidak mungkin semua ini aku kecapi. Intan berlian dan jenama megah aku sedekahkan kerana bantuan dan pengorbanan tubuhnya amat aku hargai.

Mira tidak aku sentuh lagi, sejak akhir-akhir ini dia pun kelihatannya tidak sihat. Asyik lemah badan dan muntah! Shida ada berkata padaku, “Sayang... isteri you tak sihat ye?” Terkejut juga, sedangkan aku tidak pernah pun bercerita padanya tentang Mira. “Apa kata bawa isteri you berubat dengan Pak Samad! Manalah tahu ada orang dengki berniaga dengan sayang tetapi isteri abang terkena pukulan hembusannya.”

“Umm... Betul juga!” tak terfikir pula aku sebelum ini. Lantas aku pulang menasihatkan Mira untuk bersama aku berubat dengan bomoh Pak Samad. Pada awalnya, memang Mira enggan sebab tidak percaya benda karut itu. Selepas aku bertegas, Mira bersetuju.

Selepas Maghrib, aku dan Mira sampai di rumah bomoh hebat ini. Selepas hampir satu jam Pak Samad di dalam bilik bersama Mira, dia memberitahuku, Mira harus ditinggalkan di sini selama lima hari untuk membuang sampuk yang terkena padanya. Tertelan air liur juga aku dibuatnya, Mira yang aku lihat pucat dan lesu tanpa suara tidak kisah sedikit pun aku meninggalkannya. Demi kebaikan Mira aku harus relakan dan la..la..la..la juga buat aku dapat menghabiskan masa sepenuhnya bersama Shida.

Tetapi sayangnya, sudah tiga hari aku gagal hubungi Shida. Aku ke rumahnya, berkunci dan gelap. Jiran memberitahu gadis gedik di sebelah rumah itu sudah pindah! Buat hal perempuan ni! Aku baru sahaja tandatangan cek RM250 ribu buatnya, terus lesap. Berbinau biji mata!

Belum sempat lima hari, aku terus ke rumah Pak Samad untuk bertanyakan tentang kehilangan Shida dan mengambil kembali isteriku Mira. Lagi bertambah tak keruan apabila Pak Samad juga lesap... hilang, kosong rumahnya. Aduh! Gilaaaaaaaaaaaaaa... menjerit aku sekuat-kuat hati, melepaskan kemarahan yang ada. Bini aku pun kau kebas sekali!

Aku terus membuat laporan polis dan berharap siasatan dijalankan dengan segera. Dan hari ini, seminggu berlalu. Aku masih belum mendapat sebarang maklumat terkini. Kesedihan dan rasa bersalah dalam diriku ini tidak dapat diluahkan lagi... Dosa yang telah aku lakukan terlalu besar. Aku menangis sendiri mengenangkan kebodohan selama ini... Aku kejam padamu Mira... Di manakah dikau? Apa yang harus jelaskan pada anak kita, Adira?

Seperti yang diceritakan semula kepada penulis.