Action speaks louder than words. Bahasa tubuh sering kali lebih jujur berbanding kata-kata. Secara dasarnya, manusia lebih sering mengungkapkan perasaan menerusi bahasa tubuh. Jadi kita perlu memahami bahasa tubuh pasangan untuk mengetahui isi hatinya yang paling dalam.

Orang lelaki ni straight forward. Jadi apabila bersama pasangan tersayang, sebenarnya anda boleh tahu apa yang bermain di fikirannya. Nah, beberapa bahasa tubuh lelaki ini penting untuk anda ketahui maknanya.

BERCIUM

Petanda baik

Ciuman yang halus, hangat disertai tatapan mata nan lembut. Meski ciuman seketika, namun ia menandakan si dia berasa senang, bahagia, sayang, ingin dimanja atau diperhatikan. Pendek kata, bahasa tubuh ini dianggap positif. Lebih-lebih lagi jika disulami dengan dakapan atau pelukan serta saling merapatkan bahagian dada. Selain mengungkapkan rasa sayang dan kerinduan, ia juga lambang kemesraan. Boleh dikatakan, pasangan anda menerima kehadiran anda sepenuhnya.

Petanda buruk

Ciuman kaku, tegang, sejuk dan bahkan terburu-buru sekaligus menandakan wujudnya keterpaksaan. Pasangan anda tidak sungguh-sungguh melakukannya. Penzahiran rasa itu setakat ritual. Bukan kerana ia memerlukan. Apalagi kalau tidak ada interaksi tubuh seperti pelukan atau dakapan. Ini bererti dia berusaha menjaga jarak atau mengelakkan kemesraan.

Penyelesaian: Tanyakan dengan lembut apa yang mengganggu fikirannya. Apakah ada masalah yang berkaitan dengan dirinya, anak, pejabat atau anda? Boleh jadi puncanya hanya kecil. Contohnya, pasangan masih ingin berduaan, sementara anda sudah terburu-buru mahu ke pejabat. Jika dirasakan itu masalahnya, berilah ciuman dan pelukan hangat.

Tatapan mata juga boleh menunjukkan bahawa anda sebenarnya sangat memberikan perhatian pada pasangan, menyayangi dan mencintai sepenuh hati. Lain pula jika dia bersikap begitu disebabkan anda yang berbuat salah. Setelah menyedarinya, segeralah minta maaf atas kesilapan itu. Semoga ketegangan akan mengendur. Hasilnya, anda dan pasangan pun kembali mesra dan harmoni.

 

KEMESRAAN INTIM

Petanda baik

Libido atau ghairah seksual yang tengah membara biasanya akan dipamerkan dengan bahasa tubuh yang erotik. Sama ada melalui gerakan bibir, mata, tangan atau dengan pakaian seksi yang dikenakannya. Buat lelaki, isyarat bercukur rapi dan menyemburkan wangian kegemaran boleh diertikan si dia sedang berusaha mencuri perhatian untuk mengajak melakukan hubungan intim.

Bahasa tubuh ketika bercinta tidak hanya bergantung pada bahasa tubuh semata-mata. Tetapi tatapan mata merupakan ungkapan ekspresi yang mendalam dan kebahagiaan serta kepuasan. Dengan begitu, kenikmatan bercinta tidak sekadar bersifat fizikal semata-mata tetapi juga disertai dengan perasaan menyintai sepenuh hati.

Petanda buruk

Ketika hendak memulakan hubungan intim, pasangan tampak gugup. Tubuhnya tidak relaks, terutama di sekitar leher atau bahu. Bahkan, pada masa yang sama, kedua-dua matanya terpejam. Jika bertentang mata, terasa kaku. Apalagi kalau masing-masing mengelak untuk merenung sesama sendiri. Hubungan intim pun terasa hambar.

Penyelesaian: Tidak memaksa untuk meneruskan hubungan intim kerana kemungkinan besar hubungan itu tidak akan berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan. Anda boleh bertanya penyebab dia menjadi begitu. Boleh jadi dia tidak ada mood, kepenatan atau ada masalah lain. Lebih baik mengetahui dan memahami keperluan pasangan daripada memaksakan kehendak diri sendiri.

 

BERTENGKAR

Petanda baik

Walaupun berselisih faham, anda dan pasangan tetap memandang wajah pasangan dan saling berhadapan. Anak mata tidak membesar dan nada suara pun tidak meninggi. Posisi badan seperti biasa, tanpa menyilangkan tangan serta tanpa disertai aksi tunjuk-menunjuk menyalahkan sesama sendiri.

Petanda buruk

Saat bertengkar, pandangan pasangan hanya memandang ke bawah tanda tidak mahu peduli dengan penjelasan anda. Si dia tidak kuasa merenung mata anda dan memusingkan badan ke arah lain dan pergi begitu saja.

Penyelesaian: Tenangkan diri, tarik nafas sedalam-dalamnya agar tidak terbawa-bawa dengan emosi amarah. Beri masa pada pasangan dan anda sendiri untuk saling berfikir dan menilai diri. Apabila anda dan pasangan mahu kembali membahas persoalan yang belum selesai itu, bersedialah untuk mendengar penjelasannya.

Beri perhatian dengan sentuhan pada tangan si dia. Tidak perlu gelisah tapi relaks dan gerakan lembut seperti sentuhan di tangannya menunjukkan bahawa anda pun sebenarnya tidak mahu pertengkaran itu terjadi. Anda berharap agar masalah yang dihadapi akan segera diselesaikan. Bila semuanya kembali tenang, sandarkan kepala pada bahu pasangan. Ini tandanya anda mahu merapatkan kembali hubungan yang kian renggang. Semoga berjaya!