Setiap kali tonton tutorial mekap, mesti rasa excited nak cuba mekap macam mereka. Tapi bila belek-belek harga alat mekap yang digunakan, ya ampun, mahalnya!

Orang cakap tak dapat gading, tanduk pun berguna kan? Jadi, ramai yang fikir apa salahnya pakai produk tiruan yang banyak dijual di pasaran. Beli secara online pun senang, harga pun murah.

Lambakan produk kecantikan kini kadang-kadang mengelirukan pengguna kerana bercampur-aduk dengan produk kosmetik tiruan. Terpengaruh dengan rakan-rakan dan terpedaya promosi di laman sosial membuatkan pengguna berani mencuba untuk menggunakan produk tiruan ini.

Tapi tahukah anda, penggunaan produk solekan tiruan ini banyak memberi kesan sampingan dan berbahaya untuk kesihatan?

Sebagai wanita, anda perlu peka bahawa setiap kosmetik yang dipakai mempunyai kandungan bahan kimia yang telah diproses. Setiap bahan kimia boleh membahayakan diri terutamanya jika komposisi kimia di dalamnya keterlaluan. Perbezaan alat solekan tiruan dan asli, sudah tentu lebih ketara pada harga. Jenama ternama, sebagai contoh, mempunyai reputasi yang penting untuk dijaga.

Harga yang tinggi dikenakan terhadap kos bahan mentah yang berkualiti bagi melindungi produk daripada rosak atau berisiko mendatangkan masalah kepada pengguna. Jaminan keselamatan inilah yang anda bayar mahal-mahal tu.

Produk solekan tiruan besar kemungkinan menggunakan teknologi pembuatan yang tidak setanding dengan jenama asli dan ini meninggikan lagi risiko seseorang pengguna mendapat masalah sampingan selepas menggunakannya. Bayangkan jika terdapat masalah yang berlaku, tiada tindakan yang boleh diambil oleh pengguna terhadap penjual kerana sememangnya risiko itu perlu anda tanggung sendiri.

Berlainan dengan situasi apabila anda memakai produk solekan asli. Anda boleh memulangkan semula produk dan membuat aduan jika berlaku sebarang masalah. Dengan adanya polisi tersebut, jenama-jenama ini akan lebih prihatin dan berhati-hati dengan kualiti produk kosmetik yang dipasarkan.

Terdapat banyak kandungan kosmetik berbahaya dan memudaratkan kesihatan. Tetapi bahan yang paling berbahaya boleh meresap ke dalam kulit dan mengubah struktur kestabilan sel-sel dalam badan. Apabila perubahan ini berlaku, ia mengganggu pelbagai sistem dalam badan seperti sistem endokrin, hormon reproduktif dan saraf.

Perubahan struktur sel juga boleh menyebabkan sel-sel ini mutasi dan seterusnya menjadi sel-sel kanser.  Perubahan struktur sel ini juga dinamakan bahan karsinogenik.

Bahan Bahaya Dalam Kosmetik

  1. Paraben/BHA/BHT: Kesemua bahan ini digunakan sebagai bahan pengawet dalam kosmetik. 80 hingga 90 peratus produk kosmetik mengandungi paraben agar kosmetik tahan lama.
  2. Formaldehyde: Bahan yang sama digunakan dalam pencuci baju, lantai dan tandas. Kesemua bahan ini memudaratkan kerana boleh merosakkan keseimbangan hormon, merupakan karsinogenik dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa yang lama. Selalunya berkait rapat dengan kanser payudara.
  3. Bahan-bahan logam seperti lead, merkuri, cadmium, arsenic dan nikel: Juga terdapat dalam kosmetik. Penggunaan dalam jangkamasa lama dengan pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kanser, masalah saraf atau menjejaskan sistem reproduktif.
  4. Petrolatum: Bahan yang digunakan untuk melembap dan biasanya boleh didapati dalam pengilat bibir, pelembap bibir, krim tabir suria, krim BB atau bedak asas. Ia diklasifikasikan sebagai karsinogen dan boleh menyebabkan masalah alergi kulit.

Tip Bijak

Beli yang asli

Memang banyak tempat yang menjual produk solekan tetapi untuk membeli yang asli, anda perlu berkunjung ke lokasi yang betul seperti kaunter kosmetik di pasar raya atau butik kosmetik itu sendiri. Membeli di lokasi yang diyakini kecil kemungkinannya untuk 'terbeli' produk yang telah dipalsukan.

Pembelian atas talian

Kepesatan dunia teknologi menjadikan jenama terkenal juga terpaksa turut sama menjual secara atas talian. Pembelian atas talian juga perlu berhati-hati dan pilih penjualan laman rasmi sahaja.  Jika membeli bukan di laman rasmi, siasat dengan teliti produk yang ingin dibeli. Apabila harga yang dijual terlalu rendah, mungkin sahaja produk itu sebenarnya tiruan.

Pilih jenama terkenal

Pilih jenama yang dikenali sama ada jenama mewah atau mampu milik. Kini terdapat banyak produk murah dari China dan Korea yang menjanjikan kesan pantas. Jangan terpedaya dengan produk kosmetik yang murah tetapi belum diketahui hujung pangkal produk tersebut. Periksa pendaftarannya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan pemalsuan produk.

Periksa isi kandungan

Isi kandungan sesuatu produk berupaya mengatasi masalah yang dihadapi wanita. Namun, jika digunakan secara berlebihan akan memberi kesan yang buruk. Periksa isi kandungan dengan meneliti apa yang tertera di labelnya. Cuba lihat jika terkandung bahan-bahan berbahaya seperti merkuri, rhodamin B atau hidrokuinon, elakkan membeli produk ini.