Lakaran inspirasi Pulau Santorini bersama hamparan lautan biru yang memukau. Menyelami keindahan biru menyerlah di mata dengan lorekan penuh pesona. Menikmati kesegaran solekan yang menjadi mainan warna.

• Sebenarnya bukan mudah untuk memilih bedak asas yang sesuai dengan tona kulit. Bagi mengelak umpama memakai topeng, cara yang sesuai untuk memilih bedak asas adalah dengan mencalit bedak asas di bahagian rahang ke bawah. Jika sapuan nampak sekata, bermakna rona itu sesuai dengan kulit. Jika mahu menutup cela dengan penyamar noda, jangan menggunakan jari kerana sapuan jari nampak ketara pada solekan. Sebaik-baiknya guna berus yang sesuai. Akhir sekali sapu bedak debu ke seluruh wajah dengan sekata.   

• Memang diakui bahawa solekan kening boleh mengubah wajah seseorang. Wajah nampak lebih cantik andai solekan lebih semulajadi. Oleh itu, teknik yang betul untuk melukis kening adalah dengan melukis puncak kening di hujung bola mata luar. Rapi dengan berus kening dan rona yang paling hampir dengan bulu kening. Sapu pembayang mata rona putih di bawah kening untuk lebih kemas dan sempurna.

• Rona pembayang mata perlu dipilih dengan teliti agar penampilan tidak canggung. Ramai yang takut mencuba rona biru sebagai pembayang mata. Teknik yang paling penting agar solekan mata sempurna adalah blend dan blend. Bermula dengan rona yang paling cerah disapu di seluruh kelopak mata. Kemudian oles rona yang sedikit gelap di ekor mata. Untuk penampilan lebih dramatik sapu pengalit mata daripada hujung mata ke ekor mata. Sapu dengan berus agar garisan tersebut nampak sempurna. Jangan lupa menyapu maskara kerana tanpa maskara solekan mata tidak akan sempurna.

• Langkah terakhir untuk merias wajah adalah dengan menyapu gincu bibir. Cuba menggabung dua rona gincu iaitu cerah dan gelap untuk ilusi bibir penuh. Sapu gincu yang cerah di bahagian tengah bibir dan rona yang gelap di bahagian luar bibir. Kemudian adun dua rona tadi dengan menggunakan berus.