Fungsi contouring ialah melukis wajah menjadi lebih simetri dan menonjolkan ciri wajah yang diingini. Biasanya, alat yang digunakan seperti bronzer untuk memberi dimensi gelap dan highlighter untuk menonjolkan bahagian wajah dengan berus shading. Menurut jurusolek terkemuka, Vero, teknik gelap dan terang ini sesuai untuk solekan acara formal atau fotografi. Untuk hari biasa, disarankan bersolek lebih natural dan tipis dengan cara menggunakan shading sebelum menggunakan bedak asas pada wajah.

 

WAJAH

Buat shading yang sesuai bentuk wajah. Struktur tulang rahang persegi mampu disamarkan dengan shading pada hujung rahang dan bahagian pelipis dahi. Bagi yang berwajah bulat, teknik ilusi penting untuk menyelaraskan lebar wajah dengan memberi teduhan daripada bahagian pelipis hingga tepi wajah bahagian bawah. Anda yang berwajah panjang atau oblong, samarkan dengan layangan shading pada hujung dahi dan bahagian rahang.

 

MATA

Bagi anda yang bermata sepet, aplikasikan teknik double line untuk mencipta kelopak mata. Tarik dari pangkal hingga hujung mata dan lukis garis dengan intensiti lebih tebal di bahagian hujung mata. “Untuk wanita berusia 40-an dengan kelopak mata yang sudah mengendur, bantuan eye scotch dan bulu mata palsu dapat membuat mata lebih berseri,” tambah Vero.

 

HIDUNG

Dapatkan kesan mancung pada hidung dengan memberikan shading pada bahagian kanan dan kiri batang hidung, bermula dari pangkal hingga cuping. Tambah highlighter pada tulang hidung dan baurkan merata dengan shading agar lebih natural.

 

BIBIR

Bagi anda yang berbibir nipis, gunakan trik ini untuk memberikan dimensi pada bibir. Bingkai menggunakan penggaris bibir berwarna satu ton lebih gelap dari warna gincu dan baurkan secara halus ke arah dalam. Agar lebih segar, tambah pengilat bibir pada bahagian tengah hingga puncak bibir atau ganti dengan shimmer untuk paparan matte.

 

MITOS KECANTIKAN

Anggur merah baik untuk kecantikan kulit?

Benar. Minuman fermentasi ini kaya antioksidan dan polifenol yang berfungsi melawan radikal bebas dalam tubuh sekali gus membantu menghambat gejala penuaan. Cara lain? Campurkan segelas anggur merah dalam sebekas air hangat dan gunakan untuk merendam tangan dan kaki sebelum manicure dan pedicure. Kulit akan lebih lembut, cubalah!

 

Membasuh wajah dengan air sejuk dapat mengecilkan liang roma?

Salah. Lebih tepat sebenarnya ialah mengembalikan liang kulit anda ke saiz asal. Yang boleh anda lakukan ialah dengan merawat kulit menggunakan pembersih mengandungi formulasi lembut dan lakukan proses eksfoliasi dengan produk yang mengandungi alpha hydroxy acid atau salicylic acid sekurang-kurangnya 1 ke 3 kali dalam seminggu untuk menyingkirkan sel kulit mati yang terkumpul dalam liang kulit.