Bersolek menjadikan seseorang wanita lebih cantik dan menarik. Sehingga ada yang rasa hambar dan tidak mampu keluar rumah tanpa secalit solekan di wajah. Namun, tidak berbaloi bersolek jika solekan itu tersembunyi cela yang memakan diri. Solekan yang tidak sempurna menjadi mimpi ngeri yang tidak digarapkan oleh semua wanita. Ketahui tip berikut agar solekan tampak sempurna dan mampu menyerlah penampilan.     

PENYAMAR NODA MEREKAH

Penyamar noda atau concealer berfungsi untuk menutup kekurangan seperti noda hitam atau jeragat di atas kulit. Penyamar noda dikatakan merekah jika sapuannya tidak rata dan jelas terlihat garis halus atau kedutan dan noda di wajah.

TIP:

Mencegah penyamar noda daripada merekah dengan memastikan untuk melembapkan kulit wajah dahulu sebelum memakai penyamar noda. Ketika menyapu pelembap di wajah, jangan biarkan terlalu banyak sehingga melekit. Cukup untuk meratakan di sekitar wajah. Pemilihan penyamar noda juga perlu diperhalusi. Jika mempunyai banyak garis halus di wajah terutama di kawasan mata, pilih penyamar noda yang berbentuk cecair dan senang diratakan. Jika penyamar noda digunakan untuk menutupi spot tertentu di wajah, apa sahaja jenis penyamar noda sesuai asal senang diratakan.

CARA ATASI:

Jika solekan sudah kelihatan comot atau kelihatan dengan jelas penyamar noda merekah, sapu garis yang kelihatan dengan jari bersih. Jika ada membawa bedak bersama, sebaik-baiknya bedak debu, sapu bedak untuk mengekalkan solekan.

BIAS EYELINER

Kebanyakan wanita pernah melalui pengalaman menyapu eyeliner kemudian meninggalkan satu garisan lagi di atas kelopak mata bahagian atas. Ini berlaku jika kelopak mata dalam keadaan berminyak. Ada juga yang pernah mengalami eyeliner yang luntur di bahagian bawah mata. Ketika melihat cermin baru perasan eyeliner sudah tiada di tempat yang sepatutnya.

TIP:

Apa yang perlu ditekankan adalah jenis eyeliner yang digunakan. Pilih eyeliner yang hadir dengan formula waterproof supaya tahan lama dan tidak mudah luntur. Boleh juga menyapu penyamar noda dengan formula bebas minyak di kelopak mata.

CARA ATASI:

Sediakan payung sebelum hujan. Sentiasa letak putik kapas atau tisu basah di dalam beg tangan. Eyeliner yang melekat di bahagian kelopak mata boleh dibersihkan dengan tisu basah sahaja. Manakala eyeliner di bawah bahagian mata boleh disapu dengan putik kapas untuk membersihkannya.

PEMERAH PIPI TERLALU TEBAL

Ketika bersolek di rumah tidak terlihat pemerah pipi yang tebal. Namun, setelah berada di pusat membeli-belah kelihatan tulang pipi terlalu menonjol akibat pemerah pipi yang keterlaluan.

TIP:

Ketika bersolek, pastikan di bawah pencahayaan baik. Guna natural light atau bersolek berdekatan dengan tingkap. Bagi mengelakkan penggunaan pemerah pipi yang keterlaluan, perhatikan cara anda bersolek. Jika memakai bedak asas berbentuk matte, pilih pemerah pipi berbentuk bedak atau krim. sapu sedikit demi sedikit sehingga mendapat sapuan yang sempurna.

CARA ATASI:

Sebaik sahaja masuk ke tandas restoran baru disedari pemerah pipi terlalu menonjol. Jangan gusar lebih-lebih lagi jika membawa berus bedak asas atau span solekan. Guna sedikit bedak asas atau penyamar noda dan tekan di kawasan tulang pipi. Alternatif lain denga penyapu berus bedak di atas pipi untuk menurunkan warna pemerah pipi yang berlebihan.

MASKARA BERGUMPAL

Menyapu maskara pada bulu mata bukan memberi hasil bulu yang lentik tetapi bergumpal dan kelihatan kaku.

TIP:

Salah satu sebab bulu mata bergumpal kerana maskara yang digunakan basah. Apabila basah bulu mata sukar untuk terpisah. Jika isi maskara melekit kerana hampir kering, bulu mata biasanya melekat di sisi kiri dan kanannya.

 CARA ATASI:

Cara yang paling bijak mengatasi masalah ini adalah membuang maskara dan disapu dengan yang baru. Jika memberus bulu mata yang sudah kering, boleh berisiko menggugurkannya. Cara yang paling mudah menanggalkan maskara tanpa menyentuh solekan lain adalah dengan menggunakan micellar water. Tuang di atas kapas dan kepit bulu mata beberapa saat. Sapu kapas perlahan-lahan untuk membersihkan maskara.

KENING TERLALU KAKU

Bentuk kening sangat mempengaruhi roman wajah. Jika dilorek terlalu tebal dan menggunakan rona hitam pula akan membuat wajah lebih garang dan kaku. Paling penting lukis kening natural yang mungkin.

TIP:

Melukis kening tidak boleh dilakukan sesuka hati. Paling penting tahu bagaimana membentuk kening. Lukis kening dengan pensel mengikut bentuk yang paling sesuai dengan wajah. Kemudian penuhkan dengan brow powder. Sebaik-baiknya guna rona coklat untuk kelihatan lebih semula jadi.

CARA ATASI:

Kalau sudah terjadi solekan kening yang kaku, apa yang boleh dilakukan adalah guna berus kening. Berus kening boleh mengurangkan kepekatan warna agar lebih natural.