Bagai bisa berkata-kata, aksesori hebat ini juga mampu menyerlahkan mata sebagai titik tumpu yang mempesona. Justeru, tidak hairanlah jika aplikasi bulu mata palsu kini seperti sudah tidak asing lagi dalam trend solekan fashionista.

Kini  terdapat pelbagai rekaan bulu mata palsu, saiz dan warna-warna yang menarik untuk pilihan pemakai serta  set bulu mata palsu yang natural untuk pemakaian harian. Menerusi teknik pemakaian dan solekan bulu mata palsu yang betul, anda mampu mengungkap keindahan mata seperti yang asli.

Ayuh ketahui info lengkap tentangnya agar solekan wajah anda tampak dramatik dan semulajadi!

KUASAI TEKNIK

1. Potong hujung bulu mata palsu jika ia lebih panjang dari saiz mata. Pastikan tiada celah yang ketara di antara bulu mata sebenar dan bulu mata palsu, serta trim kepanjangannya untuk mendapatkan kesan semulajadi.

2. Sapukan gam bulu mata khas secara tipis. Tiupkan gam dari penjuru ke penjuru agar ia kering sedikit dan lekatkan pada garis bulu mata serapat mungkin. Tekan dengan jari daripada bahagian luar mata ke dalam sehingga gam kering (30-60 saat).

3. Sapukan maskara secara zig zag untuk mencantumkan helaian bulu mata palsu dengan yang sebenar. Anda juga boleh menggunakan pelentik bulu mata untuk melentikkannya sebelum memakai maskara.

4. Sebagai sentuhan terakhir, garis alis mata anda dengan eyeliner untuk mencipta kesan semulajadi. Pastikan garisan tidak comot sehingga merosakkan sapuan eyeshadow sebelum ini.

PERLU TAHU

  • Bahan yang digunakan untuk membuat bulu mata palsu adalah rambut manusia atau bahan sintetik. Oleh itu, efek yang dihasilkan juga berbeza.
  • Bulu mata palsu boleh diguna semula sebanyak lima kali. Pastikan ia dibersihkan dari sisa gam dan maskara sebelum disimpan semula di dalam bekas.
  • Pastikan bulu mata palsu ditanggalkan sebelum tidur. Cuci sisa gam, maskara dan eyeliner dengan pembersih solekan mata.

TIP!

  • Lekatkan bulu mata palsu di bahagian bawah mata untuk mendapatkan kesan solekan yang dramatik. Teknik ini popular di kalangan selebriti ternama.
  • Gunakan gam pelekat bulu mata palsu yang berwarna hitam. Ia menyamarkan kesan comot seolah garisan eyeliner.
  • Jurumekap profesional biasanya akan menggaris eyeliner dahulu sebelum melekatkan bulu mata palsu. Ia akan meninggalkan kesan lebih asli dan kemas.