Memasuki usia 40 tahun ada beberapa gaya solekan yang sebaiknya tidak lagi dipraktik walaupun nampak cantik di mata anda. Antaranya adalah teknik solekan mmenggunakan maskara dan eyeliner.

Tren menggunakan maskara tebal berlapis-lapis dan juga eyeliner di luar garis mata untuk wanita usia 20-an dan 30-an mungkin menghasilkan kesan smokey eyes yang mengagumkan. Namun, tren itu tidak sesuai diaplikasi jika usia anda semakin meningkat.

Ini kerana solekan jenis ini membuatkan mata kelihatan berat dan gelap yang mana akan menyebabkan anda kelihatan lebih tua, penat dan menampakkan lagi kedutan di bahagian mata.

Tip ini dikongsi oleh Ashunta Sherrif, yang juga juru mekap untuk selebriti seperti Jennifer Hudson, Rihanna, dan Alicia Keys.

Ujarnya, wanita yang sudah memasuki usia matang perlu mengenakan solekan yang lebih ringkas dan ringan. Namun penggunaan maskara masih disarankan tetapi secara nipis bagi melentikkan bulu mata agar bahagian mata kelihatan lebih besar sekali gus menampakkan wanita lebih muda.

Sekiranya mahu menggunakan pembayang mata, Sherrif menyarankan warna coklat tua dan biru navy tapi elakkan menggunakan warna hitam.