Setiap kali timbang berat badan mesti hasilnya mengecewakan. Walaupun dah cuba bermacam pelan diet, tapi hairan yer kenapa berat badan tak mahu turun? Adakah dipengaruhi faktor usia yang kian meningkat atau masalah kawal selera makan? Kalau nak tahu, inilah faktor-faktornya.

Tidak Pernah Kenyang

Masalah ini sering terjadi selepas anda menikmati makan tengah hari di tempat kerja. Perasaan tidak kenyang masih membelenggu. Untuk menghilangkan rasa tidak kenyang itu, cubalah minum 1-2 gelas air putih sebelum makan.

Makanan yang mengandungi serat seperti buah dan sayur amat digalakkan. Pengambilan protein dan lemak yang cukup akan membuatkan anda merasa lebih kenyang semasa makan.

Badan Terasa Berat

Terdapat carta yang menunjukkan berat badan dan ketinggian yang seimbang untuk setiap individu. Jadi, ambil tahu akan berat badan ideal yang sama dengan ketinggian anda. Jika berat badan anda adalah ideal tetapi badan terasa berat, lakukan senaman dan aktiviti fizikal.

Senaman seperti regangan otot atau senaman ringan yang dilakukan secara teratur akan membuatkan badan terasa lebih ringan dan segar sepanjang hari. Jika berat badan tidak ideal, lakukan sesuatu! Senaman juga bukan dilakukan ketika badan terasa berat sahaja, tetapi ia perlu konsisten.

Kawal Lapar Mata

Ini sering membelenggu kebanyakan wanita. Lapar mata membuatkan anda terdorong mencari snek yang tinggi kalori dan berlemak seperti sepotong kek. Jadi, untuk memastikan pelan diet berkesan, pilihlah snek yang sihat seperti buah, yogurt rendah lemak, salad dan sebagainya.

Suka Mengunyah Tapi Takut Gemuk

Tidak ada salahnya mengunyah tetapi pilihlah snek yang sihat.  Ambil snek tanpa minyak, tidak digoreng tetapi direbus. Pastikan yang anda hanya mengambil hidangan snek sebanyak 10% dari jumlah kalori dalam sehari.

Tiada Masa Bersenam

Jika tidak mempunyai masa untuk bersenam, banyakkan aktiviti fizikal. Contohnya, guna tangga daripada menggunakan lif di pejabat atau cuba berdiri, berjalan dan menekan butang televisyen untuk menukar rancangan lain tanpa menggunakan alat kawalan jauh. Senaman merupakan perkara wajib untuk mengekalkan kesihatan. Harus ingat itu!

Menetapkan Sasaran Tak Logik

Sentiasa letakkan sasaran yang logik dan realistik. Adalah mustahil untuk menurunkan 10 kilogram berat dalam masa satu bulan. Jika anda berjaya lakukannya pun, anda pasti telah mengabaikan keperluan nutrisi pada tubuh anda.

Adalah penting untuk kita kurus secara sihat dan selamat. Biar berat badan turun sedikit demi sedikit tetapi konsisten. Bukankah itu lebih baik?