Hari ni mungkin sekali banyak undangan rumah terbuka, memandangkan bulan Syawal pun bakal berakhir tak lama lagi. Sebagai wanita, tentu kita mahu tampil menarik dengan busana raya yang paling cantik, bukan?

Bagi yang anak dara pula, masa inilah melaram dengan baju dan tudung tercantik, siap wajah dirias indah agar lebih berseri. Ayuh semak tip Nona ini sebagai persediaan awal ke rumah terbuka. Eh mana tahu jumpa jodoh anda di situ.

Rawatan Rambut

Bagi yang bertudung, boleh cuba petua rawatan yang menggunakan madu dan minyak zaitun untuk kesihatan rambut. Campurkan secawan madu bersama dua sudu minyak zaitun dan sapukan pada kulit kepala. Urut-urut lembut bagi melancarkan aliran darah. Lepas tu tutup dengan tuala lembap dan biarkan selama 30 minit. Tujuannya bagi memberikan zat dan kelembapan kepada rambut.

Rawatan Wajah

Campurkan putih telur bersama perahan lemon untuk mencerahkan serta mengencangkan kulit.

Rawatan Tubuh

Anda boleh melakukan skrub sendiri dengan menyediakan segenggam badam, sedikit kulit limau dan setengah cawan minyak zaitun. Kisar semuanya hingga halus. Sapu pada seluruh tubuh bagi menyental sel-sel kulit mati.

Nak Cantik Sepanjang Hari?

  1. Bersihkan wajah sebelum bersolek. Sapu pelembap yang sesuai dan mengandungi SPF tinggi bagi mengelakkan pancaran matahari berlebihan. Seterusnya, sapu bedak asas ringan yang bersesuaian. Lapisi dengan bedak padat.
  2. Untuk mata, sapu pembayang mata dan eyeliner. Berus alis mata dengan rapi dan kemaskan dengan pensel alis. Lentikkan bulu mata dengan maskara.
  3. Sapu pelembap bibir sebelum memakai lipstik. Lukis bibir dengan lip liner diikuti dengan lipstik berwarna lembut. Sepadankan warna lipstik dengan warna baju. Jangan lupa sapukan pengilat bibir untuk bibir yang segar dan mungil.
  4. Seterusnya, gunakan pemerah pipi yang berwarna lembut. Jangan lupa untuk membawa peralatan solekan secara sederhana ketika anda keluar.
  5. Seperkara lagi yang tidak harus anda lupakan ialah minyak wangi. Semburkan haruman lembut di tubuh anda supaya tetap segar sepanjang hari.
  6. Untuk anda yang berhijab, pilihlah hijab yang berfabrik ringan, nipis dan praktikal. Elakkan memilih hijab dari fabrik yang boleh menyebabkan kulit kepala anda gatal. Selain itu, sesuaikan juga jenis hijab dengan bentuk wajah anda. Sebaiknya, tampil cantik dengan gaya berhijab masa kini.
  7. Warna hijab juga disarankan supaya senada atau lebih cerah daripada busana untuk memberikan kesan segar. Elakkan warna yang terlalu banyak. Di samping itu, gunakan aksesori yang bersesuaian dengan hijab yang dipilih.
  8. Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, lakukan rawatan facial agar wajah bebas jerawat.
  9. Jangan lupa membawa kapas dan tisu wajah untuk membersihkan wajah sewaktu dalam perjalanan.
  10. Pastikan juga rambut sudah dicuci terlebih dahulu kerana rambut yang kotor jika terkena wajah akan menyebabkan jerawat.
  11. Jika keluar sepanjang hari, aplikasikan krim siang dan pelembap agar wajah terlindung daripada sinaran matahari berlebihan.
  12. Setelah lima jam, jangan lupa membersihkan wajah dan oles solekan sekali lagi. Jika anda keluar pada malam hari, aplikasikan krim siang sahaja yang berfungsi sebagai pelembap.
  13. Gunakan bedak tabur dan pelembap bibir. Sekiranya harus bermalam dalam perjalanan, amat penting untuk membersihkan wajah agar tidak menyebabkan jerawat.
  14. Pilih makanan yang berzat. Kurangkan makanan yang berlemak, bergoreng, pedas serta bersantan kerana ia akan mempengaruhi keadaan kulit.
  15. Jangan lupa minum air putih sekurang-kurangnya lapan gelas sehari atau dua liter bagi menggantikan cecair yang keluar dari tubuh contohnya melalui perpeluhan dan pernafasan.

Setiap Wanita Mesti Amalkan Petua Mengurut Wajah Ini. Hafal Ya!

Usai hadiri rumah terbuka, tentu kulit wajah pun lesu. Sebaiknya setiap minggu luangkan masa anda untuk mengurut wajah. Caranya dengan sediakan minyak badam, minyak avokado, minyak jojoba dan minyak zaitun.

  • Bersihkan solekan terlebih dahulu. Pastikan tangan anda bersih.
  • Celup hujung jari ke dalam minyak urutan dan sapu pada wajah. Sapu perlahan-lahan ke wajah secara menyeluruh.
  • Hujung jari dari kedua tangan mengarah ke tengah diletakkan di atas alis. Urut secara perlahan mengarah ke pelipis. Ulang gerakan ini perlahan-lahan dan terus mengurut ke bahagian yang ada kedutan.
  • Letakkan hujung jari tengah dan jari manis di atas alis mata, dekat dengan batang hidung. Urut ke arah luar mengiringi kedua alis mata lalu turun mengikut hujung mata. Putarkan di tulang pipi lalu urut ke hidung kemudian kembali ke bahagian atas hidung. Ulangi gerakan ini beberapa kali.
  • Dengan gerakan lingkaran sambil mengarah ke belakang, urut bahagian pelipis dengan kedua hujung jari.
  • Tepuk perlahan-lahan bahagian atas pipi dengan tapak tangan.
  • Letakkan kedua hujung jari di bibir atas lalu urut perlahan-lahan ke arah dalam.
  • Letakkan kedua hujung jari di rahang bawah. Urut dengan menyusuri tulang rahang bawah ke arah telinga kemudian tepuk dengan ringan dari telinga mengarah kembali ke rahang bawah. Ulangi beberapa kali.
  • Tepuk leher perlahan-lahan mengarah ke atas. Ulangi membuat gerakan lingkaran dengan menepuk perlahan-lahan di seluruh wajah.