Kulit wajah yang bersih merupakan elemen penting untuk mendapatkan hasil solekan yang sempurna. Solekan sempurna juga tidak mungkin tercapai tanpa sebarang calitan bedak asas. Bedak asas berfungsi untuk menutup segala kekurangan di wajah apabila penggunaannya betul dan tepat. Tidak seperti alat solek lain, jika tersalah langkah boleh diperbetulkan. Tetapi, jika berlaku sebarang kesilapan pada sapuan bedak asas maka tidak boleh disembunyikan.

GUNA BERUS

52 peratus wanita tidak menggunakan alat ketika aplikasi bedak asas. Mereka lebih selesa menggunakan jari untuk meratakan bedak asas ke seluruh wajah. Tetapi, kebanyakan juru solek profesional menggunakan berus khusus bedak asas untuk hasil flawless. Sentuhan berus ini dapat menyempurnakan solekan dengan pergerakan membulat. Teknik ini juga dapat membantu menggunakan bedak asas dalam kuantiti yang kecil namun liputan yang menyeluruh. Menambah bedak asas di wajah lebih mudah daripada membuang bedak asas yang keterlaluan di kulit, bukan begitu?

FORMULA MIX AND MATCH

Selalu kita melihat juru solek profesional mengadun beberapa warna bedak asas sebelum disapu ke wajah. Kulit wajah berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Proses mengadun bedak asas ini adalah untuk mencipta warna bedak asas yang sesuai dengan kulit. Adunan warna ini juga untuk mengimbang warna kulit bersama bedak. Kombinasi beberapa warna pasti akan memberi hasil lebih sekata dan sesuai dengan tona kulit wajah seseorang. Bagi mendapat solekan tahan lama, pilih bedak asas yang datang dalam bentuk matte.

ELAK KEDUTAN

Tidak ada kuasa magis untuk memastikan tidak ada garis halus atau kedutan dalam solekan. Tetapi, terdapat teknik yang boleh dilakukan untuk kesan minima. Jika sekiranya memakai krim mata sebelum bersolek, apa yang perlu dilakukan hanya lekap sehelai tisu di bawah mata. Minyak yang wujud di bawah mata akibat memakai krim boleh menambah garis halus selepas mengoles bedak asas. Begitu juga dengan garis halus sekitar bibir. Selepas menyapu bedak asas, guna berus halus untuk singkir bedak asas yang melekat di atas garis halus atau kedutan.

IKUT JENIS KULIT

Kenal pasti jenis kulit sendiri sebelum memilih mana-mana bedak asas. Buat mereka yang mempunyai kulit jenis berminyak perlu memilih bedak asas bebas minyak agar penampilan lebih menyerlah. Buat mereka yang memilik kulit jenis kering pula sebaik-baiknya memilih bedak asas berbentuk krim yang hasil yang terbaik. Manakala buat mereka yang mempunyai kulit sawo matang wajib menambah corrector rona oren untuk menghalang kesan tidak sekata di sekitar bibir dan bawah mata.

BUKAN SEKADAR DI WAJAH

Memang benar, bedak asas bukan sahaja dioles di sekitar wajah. Jika mahu menyembunyikan tulang rahang yang terlalu menonjol bedak asas adalah penyelamat. Adun bedak asas di atas tulang rahang sehingga leher. Begitu juga dengan leher, jangan lupa menyapu bedak asas di sekitarnya agar tidak berlaku perbezaan warna keterlaluan antara kulit wajah dan leher. Jangan lupa menyapu bedak asas di atas bibir sebelum menyapu lipstick. Begitu juga menyapu bedak asas di kelopak mata sebelum menyapu pembayang mata. Bedak asas ini mampu mengekalkan solekan mata dan bibir tahan lama dan menyerlah rona sebenar lipstick dan pembayang mata.

GUNA HIGHLIGHTER

Bagi hasil solekan yang berseri (glowing) dan tampil natural anda perlu menyapu highlighter terlebih dahulu sebelum bedak asas. Langkah ini turut membantu liputan bedak asas menyeluruh di wajah dan kesan solekan tahan lama.