Siapa yang suka dipanggil Si Gemuk? Mereka mungkin kelihatan bahagia, tertawa comel bila diusik dan pandai memasak tapi di sebaliknya golongan ini berdepan ancaman kesihatan yang serius. Kisah Wan Hatinie Wan Pa, pemilik Restoran Hatinie di Seksyen 10, Shah Alam ini patut dijadikan iktibar.

"Berat badan saya pernah mencapai 114 kg. Bukan malu sebenarnya memiliki berat badan berlebihan tetapi saya mahu menurunkan berat badan kerana mahu memiliki tubuh yang sihat. Puas saya cuba berdiet dan bersenam tetapi semuanya menemui jalan buntu.

Kegemukan membuat saya selalu mengalami masalah sakit lutut dan sakit belakang sehingga susah nak bersenam. Tahu tak, bersenam lagi penat dan sakit sampai menimbulkan rasa takut untuk bersenam.

Sebenarnya apabila badan kita terlalu besar sampai tergolong kategori morbid obesity kelas 2 ke atas, peluang untuk menurunkan berat badan sebenarnya bukan tipis, tapi lebih susah terutamanya apabila berpenyakit. Masa itulah kemudiannya saya diperkenalkan dengan teknik rawatan pembedahan Bariatrik.

Sebenarnya saya dah dipelawa untuk membuat pembedahan ini dua tahun lepas. Tapi saya takut sebab waktu tu hanya dapat saranan daripada doktor. Saya tak tahu elok ke tidak kesan pembedahan tersebut. Namun setelah ada orang yang dikenali buat pembedahan Bariatrik, baru saya percaya dan berani nak mencuba,” ujarnya.

Pembedahan Bariatrik bukan total solution yang menjamin seseorang itu tidak perlu berdiet atau bersenam. Anda masih perlu mengawal gaya hidup agar obesiti tak berulang. "Selepas buat pembedahan ini banyak masalah kesihatan lain dapat dibantu. Dengan pelbagai nasihat daripada doktor, dietition serta pesakit lain yang pernah menjalani pembedahan, proses pemulihan menjadi amat menyenangkan.

Terutamanya adaptasi terhadap makanan. Ada makanan-makanan tertentu yang tak boleh makan, kita berpantang. Kerana antaranya untuk jaga luka pembedahan dan nak kawal gula agar pembakaran kalori atau penurunan berat badan jadi secara konsisten. Kalau makan makanan bergula berat kita lambat sikit nak turun.

Alhamdulilah selepas 7 bulan membuat pembedahan ini, saya berjaya turunkan 30kg. Kini berat badan saya adalah 84kg dan saya sasarkan sampai 65kg. Walaupun berat ideal saya adalah 58kg, tapi itu pun sudah memadai. Besar harapan saya untuk mencapai sasaran itu hujung tahun ini,” azam Hatinie.

Nasihatnya kepada wanita yang mahu membuat pembedahan Bariatrik, “Pembedahan ini selamat dan sangat bagus untuk mengawal risiko penyakit bahaya seperti diabetes dan darah tinggi. Sebenarnya ada 65 penyakit yang boleh dihilangkan dengan pembedahan ini. Kita akan lebih sihat, bukan sahaja lebih langsing dan cantik malah dapat menjalani kualiti hidup yang lebih baik,” ungkap wanita yang murah dengan senyuman ini.

==============================

Berat badan wanita merupakan isu sensitif untuk diperdebatkan. Namun, tahukah anda bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai penduduk obesiti paling ramai berbanding negara Asia lain dengan 45.3 peratus penduduknya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).

Kegemukan bermasalah atau morbid obesity ditakrifkan sebagai Indeks Jisim Badan (BMI) yang melebihi 35 hingga 40 serta mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Pembedahan Bariatrik bukanlah dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik dan merupakan satu teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan. Melalui cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik mahupun pembuangan beberapa bahagian pada perut.

Ia seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada dilema individu obes. Fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik.