Dear Nona, saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman menghidap sifilis dan berharap semoga kisah ini menjadi iktibar kepada pasangan suami isteri yang lain. Nama saya Anna, 27 tahun, dan kini saya sedang hamil 4 bulan.

Kisah bermula apabila saya dan suami melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum hamil. Pada waktu itu, saya sudah merasakan beberapa keganjilan khasnya di bahagian sulit. Kulit di luar vagina ditumbuhi bintik-bintik kecil berwarna putih yang saya sangkakan cuma gatal-gatal biasa.

Apabila pemeriksaan kedua dilakukan, saya amat terkejut apabila doktor mahu membuat ujian darah kami berdua. Masa tu luka bekas menggaru mula bernanah di bahagian kemaluan, disertai demam-demam dan rasa mual setiap kali selepas makan.

Kebimbangan saya nyata berasas apabila seminggu kemudian, doktor mengesahkan saya dijangkiti sifilis. Alangkah sedihnya bukan kepalang! Saya menangis dari klinik sampai ke rumah, dan akhirnya tiba saja di bilik tidur kami, suami tiba-tiba mohon maaf.

Sewaktu dia berterus-terang pernah berzina dengan wanita lain, hati saya kosong sekosong-kosongnya. Perkara itu sudah dijangka tapi apa yang lebih penting masa itu adalah kesihatan dan bayi kami dalam kandungan. Saya amat takut jika anak ini nanti mengalami perkara buruk akibat sifilis tapi apakan daya, perkara sudah terjadi.

Sekarang saya sedang giat berubat agar sifilis tak merebak dengan teruk pada anak dalam kandungan. Macam-macam ubat disapu, macam-macam petua diamalkan. Ada satu peringkat, saya kadang-kadang mahu menyerah untuk tidak meneruskan kandungan ini hingga betul-betul sembuh. 

Sebagai wanita, saya merayu agar para suami tidak menjadikan isteri dan keluarga anda sebagai mangsa penyakit sifilis. Gara-gara nafsu buas kalian, orang lain yang terkena deritanya. Tolonglah hargai kesetiaan isteri. Anna, Subang Jaya

Nasihat Pakar

Penyakit sifilis ialah sejenis penyakit kelamin yang dijangkiti melalui hubungan seksual. Penyakit ini amat jarang berlaku, tetapi jika terjadi memerlukan suntikan penisilin bagi mengubatinya. Suami Puan juga memerlukan suntikan ini – jika tidak, beliau akan terus menerus membawa jangkitan ini kepada Puan.

Masalah penyakit kelamin ini semakin kerap berlaku pada zaman ini kerana adanya kes-kes seksual rambang atau hubungan seks dengan pasangan yang berisiko tinggi. Penyakit kelamin bukan sahaja setakat sifilis.

Malah, jika seseorang itu disahkan mengalami masalah sifilis, saya sarankan supaya dia menjalani pemeriksaan untuk memastikan tidak dijangkiti kuman lain seperti Chlamydia, Gonorrhoea, virus seperti Herpes dan HIV.

Sepatutnya Puan dan suami sama-sama menjalani ujian kuman dan virus di atas sebelum hamil dahulu.

Puan, apabila seseorang wanita diserang penyakit kelamin, organ peranakan wanita itu boleh dijangkiti sama. Kuman seperti Chlamydia misalnya boleh merosakkan salur fallopian dan menyebabkan ia tersumbat. Ia seterusnya, boleh membawa risiko mengandung luar rahim dan boleh menyebabkan masalah salur fallopian yang tersumbat.

 Penyakit sifilis berisiko untuk menjejaskan bayi dalam kandungan seperti;

  1. Masalah saraf dan otak (seperti sawan).
  2. Masalah gigi.
  3. Masalah tulang, sendi dan muka.
  4. Masalah ginjal dan limpa.
  5. Masalah bayi yang meninggal dalam kandungan.

Oleh itu, amat penting bagi Puan dan suami mendapatkan rawatan secepat mungkin untuk mengatasi jangkitan sifilis ini. Semoga ikhtiar dan usaha Puan dapat menyelamatkan anak dalam kandungan, insyaAllah.

Jawapan daripada Dr. Norintan Zainal Shah merupakan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi yang bertauliah di Seremban, Negeri Sembilan.